Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Bantu ahli PGIT mandiri, berkemahiran

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sangat menitikberatkan pendekatan whole of nation dalam merancang dan melaksanakan tindakan-tindakan dalam memacu kemajuan negara membangunkan kapasiti dengan berganding bahu bersama agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang relevan dan berkepentingan.

    Perkara itu ditekankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Daud semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Sijil Seminar Kepimpinan dan Urus Tadbir bagi Program Bangkit Bersama, hari ini, yang berlangsung di Bangunan Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei.

    Dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato melahirkan keyakinan bahawa usaha dan inisiatif dalam membentuk masyarakat yang mandiri dan mampu, peserta seminar membina diri, semangat keusahawanan dan nilai-nilai kebersamaan bagi mendukung satu sama lain adalah bertepatan dengan nilai-nilai teras Maqasid Syariah dalam menjaga agama, nyawa, kesihatan, intelek dan keturunan.

    Katanya lagi, “kerjasama dan sumbangan yang diberikan sedikit sebanyak akan menyumbang ke arah pengukuhan identiti ahli Persatuan Gerakan Ibu Tunggal (PGIT) selaku ibu-ibu mandiri dan berkemahiran”.

    Sepertimana yang dihasratkan Program Bangkit Bersama, lebih banyak lagi pihak-pihak yang berkenaan diharap akan dapat berganding bahu bersama PGIT untuk meningkatkan kapasiti kemahiran ibu-ibu tunggal dalam pelbagai bidang.

    Menurutnya, walaupun program berkenaan dalam berskala kecil, tapi ia memperlihatkan sinergi yang berkesan selain memberikan impak besar melalui penerapan nilai-nilai kukuh insaniah bagi mendapatkan mardhatillah iaitu keredaan Allah SWT.

    Beliau seterusnya menyeru peserta EDPMMO atau yang berada di kelompok lain, baik yang ada sekarang, atau peserta EDPMMO yang lepas, begitu juga peserta-peserta EDPSGO yang dulu dan sekarang, supaya dapat memperlengkapkan diri dari segi minda, pengalaman dan kecekapan untuk menuju hala tuju kursus masing-masing dan secara langsung memenuhi hasrat succession planning di pejabat atau kementerian masing-masing.

    Manakala itu, bagi pemimpin di jabatan dan kementerian pula diseru supaya melapangkan fikiran dan dada dalam menilai peserta-peserta yang ada dari dulu hingga sekarang ke arah melaksanakan succession planning yang dirancang.

    “Dengan demikian, masalah-masalah yang berbangkit daripada pengisian jawatan, penetapan jawatan dan kenaikan pangkat akan dapat terlaksana dengan jaya dan sempurna,” jelasnya.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti semasa berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Seminar Kepimpinan dan Urus Tadbir bagi Program Bangkit Bersama di Bangunan PGGMB. – Gambar Muiz Matdani
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...