Bantu baiki atap rosak

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Agensi-agensi kerajaan bertindak segera dalam membantu mangsa-mangsa yang terjejas berikutan kejadian angin kencang yang berlaku pada petang 30 Julai lalu.

Akibat kejadian itu, sebahagian besar atap kediaman Rumah Panjang Apak-apak, Mukim Sukang di Daerah Belait telah diterbangkan serta menyebabkan kerosakan pada sebahagian besar struktur atap dan rumah. Empat buah keluarga yang menetap di rumah panjang tersebut telah terjejas dengan sebahagian besar struktur atap di bahagian bilik-bilik tidur dan dapur mengalami kerosakan.

Walaupun bagaimanapun, tidak ada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan belum ada keperluan untuk memindahkan mangsa dari tempat kediaman tersebut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), berikutan kejadian itu, tindakan bersepadu agensi-agensi kerajaan telah dilaksanakan segera pada 31 Julai dengan menutup keseluruhan bahagian rumah yang terjejas menggunakan 17 helai kanvas kalis air bagi menggantikan atap sementara menunggu kerja-kerja membaik pulih keseluruhan bahagian atap melalui penilaian dan kos harga yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Daerah Belait.

Tindakan bersepadu berkenaan diketuai oleh pegawai Daerah Belait dengan bantuan daripada empat orang anggota bomba dan penyelamat cawangan Sungai Liang.

Kenyataan menyatakan bahawa tindakan bersepadu pelbagai agensi telah dilaksanakan dan akan diteruskan untuk menjaga kesejahteraan dan keselamatan penghuni.

Sehubungan dengan itu, kerja gotong-royong bersama penghuni rumah panjang berkenaan bagi membaik pulih atap yang terjejas akan dilaksanakan dalam masa terdekat dengan penglibatan Jabatan Daerah Belait, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pembangunan Masyarakat dan Jabatan Elektrik serta NDMC.

Keadaan rumah panjang yang mengalami kerosakan di bahagian atap dalam kejadian angin kencang yang berlaku baru-baru ini. – Gambar serahan NDMC
Keadaan bumbung sebuah rumah yang rosak akibat angin kencang yang berlaku baru-baru ini. – Gambar serahan NDMC