Bantu golongan memerlukan

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 8 SEPT – Susulan pelantikan presiden dan ahli-ahli Lembaga Pengarah Lions Club Belait yang baharu bagi 2019-2020 pada majlis yang diadakan baru-baru ini, ahli-ahli baharu berkenaan telah menjalankan lawatan ke pelbagai agensi di Daerah Belait sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk membantu mereka yang memerlukan.

Antara yang menyertai lawatan itu ialah Gabenor Daerah 308-A2, Dr Gan Kean Siong; Naib Gabenor Daerah Pertama, Roland Chieng; Penyelaras Yayasan Antarabangsa Lions Club Daerah (LCIF), Kapitan Connie Loh; Pengerusi Zon 12, Daniel Wong dan Presiden Lions Club Belait, Joseph Teo bersama ahli-ahli lain kelab berkenaan.

Perhentian pertama rombongan berkenaan, kelmarin, adalah di Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan), Kuala Belait di mana mereka dialu-alukan oleh pengurus Pusat Ehsan Cawangan Kuala Belait.

Semasa lawatan itu, rombongan juga secara rasmi menyerahkan pelbagai tugas yang berjaya disiapkan dalam membantu pusat berkenaan seperti penutup bagi kolam renang pusat berkenaan. Pembinaan penutup berkenaan adalah sumbangan Naib Presiden Lion Club Belait, Johnny Cheong. Selain itu, kelab berkenaan juga telah menyelenggarakan lapan unit penyaman udara di pusat tersebut.

Kemudian, rombongan berkenaan singgah di Rumah Orang-orang Tua, Seria untuk melawat warga emas sempena festival Kek Bulan.

Semasa lawatan itu, mereka bukan sahaja berinteraksi bersama warga emas malah meluangkan masa menikmati hidangan bersama mereka untuk memeriahkan lagi sambutan berkenaan.