Oleh Mohamad Asyramisyanie
Gambar oleh SMAS
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mei – Unit Pendidikan Khas (UPK), Kementerian Pendidikan, hari ini, telah mengadakan Jerayawara ‘Anak Adalah Anugerah’ di Sekolah Menengah Awang Semaun (SMAS) yang dihadiri oleh kira-kira 50 orang ibu bapa dan penjaga pelajar Tahun 7, 9, 10 dan pra vokasional serta dari Persatuan Ibu bapa dan Guru SMAS.
Jerayawara berkenaan, berobjektif untuk memberigakan peranan UPK dan program-program yang bersesuaian untuk pelajar-pelajar berkeperluan khas. Ia juga memberikan informasi tentang jenis-jenis perkhidmatan yang ada di unit tersebut.
Antara informasi yang disampaikan adalah berkaitan dengan Perkhidmatan Bantuan Pembelajaran – Peringkat Menengah (aliran biasa dan program pra vokasional), Perkhidmatan Bantuan Pembelajaran – Peringkat Rendah (REP dan Hospital RIPAS), Perkhidmatan Psikologi Pendidikan, Perkhidmatan Pemulihan Pertuturan dan Percakapan, Perkhidmatan Pemulihan Juru Pulih Anggota, Perkhidmatan Bantuan Khusus Pelajar Berkeperluan Khas Tahap Tinggi, Perkhidmatan Bantuan Khusus Deria Pendengaran, Perkhidmatan Bantuan Khusus Deria Penglihatan, Perkhidmatan Bantuan Khusus Pembelajaran Spesifik – Disleksia dan Perkhidmatan Bantuan Khusus Pendidikan Cerdas Pintar.

Sesi soal jawab juga diadakan bagi memberi peluang kepada ibu bapa dan penjaga menyuarakan sebarang kemusykilan yang dialami. Dengan adanya jerayawara seperti itu, ia akan dapat memberikan informasi yang diperlukan para ibu bapa dan penjaga yang mempunyai anak berkeperluan khas.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada wakil UPK dan seterusnya ibu bapa dan penjaga dijemput untuk berkunjung ke petak-petak pameran perkhidmatan yang terdapat di UPK.