Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Bantu kajian populasi beruang madu

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JAN – Bagi menentukan taburan dan mengukur trend populasi beruang madu serta untuk memastikan spesies itu tidak pupus, Borneo Futures Sdn Bhd telah memeterai kerjasama antara Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan Institut Penyelidikan Biologi dan Alam Sekitar (IBER), Universiti Brunei Darussalam (UBD) untuk melaksanakan kajian asas mengenai haiwan tersebut di negara ini.

    Kerjasama itu telah dimaklumkan dalam kenyataan media yang dikeluarkan Borneo Futures, kelmarin, di mana orang ramai dialu-alukan untuk membantu kajian berkenaan dengan melengkapkan soal selidik menerusi pautan https://forms.gle/DTELaJ4PtD8npkU77 (Bahasa Inggeris) atau https://forms.gle/6XS5PoQazDBZXiDh6 (Bahasa Melayu).

    Kajian itu bertujuan untuk menentukan taburan populasi, mengukur trend populasi, serta mengenal pasti ancaman menurut konteks Brunei dan dihasratkan dapat menghasilkan rancangan khusus negara dan bergabung dalam usaha global untuk memastikan spesies ini tidak pupus.

    Pada mesyuarat pertama antara ketiga-tiga pihak berkenaan pada suku ketiga 2021, pakar rujuk daripada Borneo Futures bagi projek berkenaan, Thina Ariffin menzahirkan ucapan penghargaan terima kasih kepada Jabatan Perhutanan dan IBER untuk bekerjasama dengan syarikat itu bagi meneroka apa yang ditawarkan oleh Brunei. 

    Beliau juga menekankan potensi kajian itu dengan mempertimbangkan hutan Brunei yang mempunyai kekayaan kepelbagaian biologi yang sebahagian besarnya masih lagi belum diterokai.

    Jabatan Perhutanan pula menyatakan ia juga salah satu langkah untuk memahami beruang madu dan spesies lain yang terdapat di negara ini. Pengetahuan ini dapat memperluas perancangan masa hadapan dalam pengurusan kepelbagaian biologi dan pemuliharaan hutan, dan pengurusan sumber semula jadi. 

    IBER, UBD berkongsi sentimen berkenaan dan menambah kajian tersebut mempunyai prospek besar untuk mempamerkan dan meningkatkan profil penyelidikan Brunei dalam literatur saintifik.

    Borneo Futures merupakan syarikat perundingan alam sekitar yang ditubuhkan pada 2015 dan berpusat di Brunei. Ia menumpukan kepada sains inovatif yang menyampaikan pengamalan dan dasar pengurusan persekitaran di kawasan hutan tropika. 

    Untuk maklumat lanjut, hubungi Borneo Futures melalui e-mel thina.ariffin@borneofuture.org.

    Kajian terhadap beruang madu dapat menentukan taburan populasi haiwan itu di negara ini. – Gambar serahan Borneo Futures

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...