Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Bantu kerajaan tangani isu anjing liar

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Dalam menangani masalah binatang liar seperti anjing liar, ia bukan sahaja menjadi tanggungjawab satu pihak sahaja tetapi ia harus mengambil pendekatan seluruh negara di mana pihak kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai bekerjasama menangani masalah berkenaan.

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman ketika menjawab persoalan yang dikemukakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Daud bin Jihan mengenai permasalahan binatang liar seperti anjing yang menjadi kebimbangan masyarakat dalam perbahasan MMN yang bersidang di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

    Beliau menerangkan bahawa jabatan-jabatan bandaran dan jabatan-jabatan daerah bekerjasama dengan NGO untuk menangani masalah anjing liar berkenaan tetapi untuk mengendalikan tempat penyimpanan anjing liar akan menelan belanja yang tinggi.
    Salah satu inisiatif yang diambil oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan jabatan-jabatan daerah dan bandaran, jelasnya, adalah untuk berunding dengan agensi-agensi yang berkepentingan seperti Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan Darussalam Enterprise, untuk menempatkan atau menyediakan ruang yang lebih besar kepada NGO bagi menempatkan anjing-anjing liar yang mereka tangkap untuk divaksinasi.

    Pada masa ini, NGO berkenaan mempunyai sebuah lokasi penempatan di kawasan Subok seluas 5.2 ekar tetapi ia tidak cukup besar untuk menempatkan jumlah anjing liar yang semakin banyak ditangkap dan kos pemakanan bagi anjing-anjing berkenaan adalah amat tinggi.

    Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa pendekatan seluruh negara diperlukan untuk menangani isu tersebut di mana NGO dan sukarelawan berkenaan berusaha untuk membantu kerajaan dengan sumbangan yang diperoleh daripada penderma-penderma.

    Dalam hubungan itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bersetuju dengan kenyataan Yang Berhormat Haji Daud di mana bagi menangani isu berkenaan ia bukannya hanya satu pihak yang melaksanakannya tetapi usaha seluruh negara harus diterapkan.

    Jabatan-jabatan daerah dan bandaran bersama-sama NGO akan terus bekerjasama untuk memastikan bahawa anjing-anjing berkenaan tidak berkeliaran.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...