Bantu OKU melalui bengkel perabot

TUARAN – “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”. Begitulah perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan perubahan yang dilakukan Azman Saidin, 38, yang menjadi Orang Kurang Upaya (OKU) setelah dua kali ditimpa kemalangan pada tahun 2017.

Bangkit melawan takdir, Azman kini mengusahakan bengkel perabot dikenali sebagai Pusat (Amal) Latihan dan Amali OKU di Kampung Baru Selaud, kira-kira 15 minit perjalanan dari bandar ini (Tuaran).

Menariknya, beliau bukan sahaja berusaha meneruskan kelangsungan hidup dengan kecacatan kekal pada kakinya, malah turut membantu golongan OKU lain di Sabah untuk menjadi usahawan atau sekurangnya-kurangnya dapat berdikari dan menyara hidup mereka.

Bengkel perabot beratapkan zink, yang terletak bersebelahan rumahnya itu, dikenali juga sebagai pusat perabot murah di Sabah dan mula beroperasi pada November 2019 dengan mempunyai 22 pekerja OKU termasuk lembam berusia antara 20 dan 40an.

 “Perabot di sini 100 peratus direka dan dihasilkan oleh OKU yang dikategorikan mengalami kecelaruan pembelajaran,” kata Azman yang juga pengurus bengkel kepada media baru-baru ini sambil mengharap pelanggan dapat memahami keadaan pekerja pusat berkenaan sekiranya berlaku kelewatan untuk menyiapkan tempahan mereka.

Bangkit melawan takdir, Azman kini sebagai pengurus dan mengusahakan bengkel perabot dikenali sebagai Pusat (Amal) Latihan dan Amali OKU di Kampung Baru Selaud. – Bernama
Antara perabot atas jenama Azman’s Pine product yang dihasilkan daripada kayu pain yang diimport dari New Zealand. – Agensi
Antara perabot yang telah dihasilkan. – Agensi

Ternyata, kehidupan, Azman yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan Homeopati dari Open University, bertukar 360 darjah selepas kemalangan iaitu daripada seorang yang aktif, namun kini terpaksa bergantung sepenuhnya pada tongkat untuk berjalan.

Kemalangan pertama berlaku pada awal tahun 2017 ketika beliau bekerja sebagai pegawai keselamatan di pelantar minyak di sempadan Malaysia-Thailand sementara  kemalangan kedua pada April 2017 menimpanya ketika beliau pulang bekerja sebagai paramedik di sebuah hotel di Langkawi. Kedua-dua kemalangan itu menyebabkan lututnya cedera parah dan menjadi lemah.

“Selepas kemalangan itu, kehidupan saya berubah sama sekali. Saya juga kehilangan pekerjaan yang pendapatan RM2,000 sehari di pelantar minyak,” katanya menambah sumber kekuatannya ialah anak perempuannya yang kini berusia tujuh tahun.

Tempahan perabot meningkat semasa PKP

Mengulas lanjut mengenai bengkel berkenaan, Azman berkata, keistimewaan bengkel ialah ia tidak mengenakan bayaran upah tetapi hanya menjual perabot mengikut saiz yang ditempah pelanggan.

Antara perabot atas jenama Azman’s Pine product yang dihasilkan daripada kayu pain yang diimport dari New Zealand ialah, katil, almari, set sofa, rak kasut, almari pakaian, kerusi, kabinet dapur dan perhiasan rumah.

Menurut Azman, tempahan perabot dari bengkel itu mula meningkat selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lepas dan ditambah pula promosi melalui media sosial Facebook atas nama As Custiumania yang dilakukan beliau sejak awal tahun 2019.

“Dalam tempoh PKP, tempahan diterima antara 45 hingga 80 perabot seminggu berbanding sebelum PKP iaitu kira-kira lapan hingga 15 tempahan sahaja,” katanya menambah ketika PKP kekangan dialami termasuk kekurangan sumber kayu pain untuk menghasilkan perabot dan pekerja bagi menyiapkan tempahan.

Menurut beliau, kayu pain yang diimport dari New Zealand bersaiz tiga meter panjang mudah dipotong mengikut tempahan dan kehendak pelanggan.

“Keistimewaan kayu pain ini kerana ia mempunyai corak semula jadi yang dapat mencantikkan perabot. Perabot juga tidak perlu dicat, hanya disapu varnis,” katanya yang membelanjakan modal awal RM500 untuk menghasilkan perabot contoh seperti rak kasut, almari pakaian dan katil.

Hasil jualan perabot contoh itulah dijadikan modal permulaan untuk membeli kayu pain bagi menghasilkan lebih banyak perabot dan kini mampu menjana pendapatan sehingga RM40,000 sebulan.

Bengkel tempat latihan OKU

Mengulas mengenai kualiti produk yang dihasilkan oleh OKU di bengkel berkenaan, Azman berkata setakat ini pelanggan amat berpuas hati dengan produk bengkel OKU itu kerana ia  turut mempunyai dua tenaga pengajar dari Keningau dan Tuaran yang akan melatih OKU bertukang setiap hari.

“OKU di bengkel itu akan diajar dan dilatih secara amali  bukan sekadar teori, agar mereka lebih memahami tugasan masing-masing kerana pekerja di sini tidak seperti insan normal lain,” katanya menambah pekerja OKU berkenaan datang dari sekitar Tuaran, Tawau dan Kudat.

Bengkel berkenaan juga tidak menyediakan perkhidmatan penghantaran tetapi ada pihak yang akan membantu menghantar perabot kepada pelanggan atau pelanggan sendiri yang datang ke bengkel berkenaan.

“Bagi tempahan dari Semenanjung, kami akan ke Kuala Lumpur, Melaka atau Kedah untuk memasang perabot yang ditempah selain memberi pendedahan hasil kerja OKU dari bengkel kami,” katanya menambah tempahan turut diterima dari Sarawak dan Brunei.

Ada juga tempahan yang dihantar menggunakan pengangkutan udara dan kos penghantaran akan ditanggung oleh pelanggan, katanya menambah bagi tujuan promosi perabot OKU, mereka turut mengadakan pameran perabot di pusat beli-belah sekitar Kota Kinabalu dan pelanggan datang dari sekitar Tuaran, Inanam, Kota Kinabalu dan daerah lain di Sabah.

Mengimbau idea untuk mewujudkan bengkel berkenaan, Azman berkata ia adalah kesinambungan daripada Taman Pencinta Haiwan yang dibukanya pada tahun 2018.

Taman berkeluasan 0.2 hektar itu menempatkan lebih 50 ekor arnab, dua ekor monyet dan kongkang yang diusahakan beliau bagi menampung kos rawatan dialisis ibunya, selepas dia kehilangan pekerjaan pada tahun 2017.

Bayaran masuk untuk dewasa dikenakan sebanyak RM6 dan RM4 bagi kanak-kanak manakala OKU dan kanak-kanak bawah umur dua tahun adalah percuma. Bagaimanapun, buat masa ini, taman berkenaan masih ditutup sejak PKP.

“Taman ini juga mempunyai tarikan iaitu mempunyai pokok herba dan terapi dari banjaran Crocker yang akan mengeluarkan wangian seperti bau lemon atau serai, bergantung kepada emosi individu yang menyentuh pokok berkenaan.”

Yang pasti, bagi Azman, anak perempuan tunggalnya itu menjadi sumber kekuatan untuk beliau meneruskan kehidupan, apatah lagi setelah kehilangan isterinya semasa melahirkan anak tujuh tahun lalu.

“Kekuatan saya adalah anak dan bengkel ini pula sebagai pengubat diri saya,” katanya yang mahu melihat golongan OKU menghasilkan perabot berkualiti setanding insan normal lain. – Bernama