Bantu pelajar fahami tanggungjawab sosial

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 24 FEB – Seramai 127 orang pelajar Tahun 7, 9 dan 10 Sekolah St John, Kuala Belait bersama guru-guru dan kakitangan telah mengikuti Program Rakan Remaja Penerangan yang diadakan di dewan serba guna sekolah berkenaan.

Dianjurkan oleh Jabatan Penerangan cawangan Daerah Belait, program tersebut dijalankan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk membantu para pelajar memahami pelbagai pembangunan yang berlaku di negara ini dan menanamkan semangat kenegaraan dan tanggungjawab sosial.

Turut hadir menyaksikan program itu ialah Pengerusi Lembaga Pentadbir Sekolah St John, Lee Yin Fah dan pengetua sekolah, Dr Teh Keng Watt.

Program telah diisikan dengan taklimat ‘Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam’ yang disampaikan oleh Ketua Jabatan Penerangan cawangan Daerah Belait, Hajah Liyana binti Haji Suhaimi.

Selain itu, program turut menyaksikan persembahan-persembahan muzikal yang termasuk oleh finalis Program Bintang Penerangan 2016, Awang Mohd Nor Amirudin bin Haji Barhim serta dua persembahan oleh pelajar-pelajar sekolah berkenaan yang termasuk persembahan muzikal tradisional bertajuk ‘Padian’ dan koir bertajuk ‘Tanah Airku’.

Pada penghujung program, sesi kuiz telah diadakan bagi menguji pengetahuan para pelajar dan mereka yang menjawab dengan betul turut menerima hadiah yang disediakan oleh Jabatan Penerangan, yang disampaikan oleh Lee Yin Fah.

Lee Yin Fah menyampaikan hadiah kepada salah seorang pelajar yang berjaya menjawab soalan kuiz.
Persembahan koir ‘Tanah Airku’ menyerikan Program Rakan Remaja Penerangan.
Antara persembahan muzikal tradisional ‘Padian’ yang diselitkan dalam program tersebut.