Bantu penduduk dapatkan akses internet

LAWAS, 31 OKT – Kerajaan Sarawak yang diterajui Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memastikan kawasan luar bandar dan pedalaman negeri itu menikmati kemudahan akses internet.

Ketua Menterinya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kawasan luar bandar sudah mempunyai menara komunikasi namun tidak dilengkapi piring pemancar satelit untuk internet.

Jelasnya, syarikat telekomunikasi tidak memasang pemancar talian internet mereka kerana lokasi di pedalaman tidak menguntungkan berikutan jumlah pengguna yang kurang.

“Justeru itu, kerajaan negeri berbincang dan kita harus bantu rakyat di kampung dapatkan akses internet. Kalau kosnya banyak…kita bayar dan itulah yang kita perkenalkan inisiatif MySRBN,” katanya pada majlis pelancaran SALURAN-MYSRBN Kampung Tengah di Trusan, Lawas, hari ini. – Bernama