Bantu ringankan beban mangsa kebakaran

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Dengan matlamat untuk membantu meringankan beban keluarga mangsa kejadian kebakaran yang menimpa dua orang murid Sekolah Nusa Jaya (SNJ), Tutong, guru dan kakitangan, ibu bapa pelajar serta murid-murid Sekolah Nusa Laila Puteri (SNLP) dari keempat-empat cawangan telah menghulurkan kutipan derma.

Majlis penyerahan kutipan derma berkenaan berlangsung di SNLP, Tanjong Bunut, hari ini, di mana hadir untuk menyempurnakan penyerahan kutipan derma kepada ketua keluarga mangsa kebakaran berkenaan ialah Ketua Operasi SNLP, Pengiran Haji Amir Khalid Abdulaziz bin Pengiran Dr Haji Amir Mohd Yussof.

Pada majlis berkenaan, Pegawai Pentadbir, Pemangku Pengetua dan Timbalan Pengetua SNLP, Pengiran Hajah Norashikkin binti Pengiran Dr Haji Amir Mohd Yussof dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa kutipan derma sebanyak $5,000 diserahkan kepada keluarga mangsa kebakaran yang melibatkan dua orang murid SNJ Tutong iaitu murid Tahun 1, Awang Mohd Rayqal Muqri bin Muhammad Jamil dan murid Tahun 3, Dayang Nur Qistina Zahra binti Muhammad Jamil.

Beliau menyatakan lagi bahawa derma itu adalah hasil sumbangan guru-guru dan kakitangan, ibu bapa pelajar serta murid-murid SNLP dari keempat-empat cawangan iaitu Jangsak, Sungai Buloh, Kiulap dan Tanjong Bunut.

Pada majlis itu, beliau juga menyatakan penghargaan kepada semua guru dan kakitangan khususnya ibu bapa pelajar atas keprihatinan dan sumbangan ikhlas daripada mereka serta berharap sumbangan itu akan dapat membantu meringankan beban keluarga mangsa kebakaran berkenaan.

Majlis diteruskan dengan penyerahan kutipan derma yang disampaikan oleh Pengiran Haji Amir Khalid Abdulaziz kepada ketua keluarga mangsa kebakaran iaitu Awang Muhammad Jamil bin Hassan.

Pengiran Haji Amir Khalid Abdulaziz (kiri) menyerahkan kutipan derma kepada Awang Muhammad Jamil pada majlis penyerahan kutipan derma, kelmarin.