Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Ogos – Dalam usaha bagi meringankan beban mangsa kebakaran, ahli-ahli Perkumpulan Wanita Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sengkurong B (PWMPKS B), melalui Bahagian Sosial dan Kebajikan PWMPKS B telah menghulurkan sumbangan bantuan kepada keluarga Dayang Jarah binti Haji Abdul Rahim di kediamannya yang terletak di Kampung Selayun B.
Hadir bagi menyempurnakan penyerahan sumbangan yang berupa kewangan, pakaian dan barangan asasi itu ialah Setiausaha PWMPKS B, Hajah Asinah binti Haji Tamin.
Sumbangan yang merupakan aktiviti Bahagian Sosial dan Kebajikan PWMPKS B yang telah dirancang itu juga bertujuan bagi memupuk semangat suka membantu dalam diri setiap ahli PWMPKS B.

Dayang Jarah semasa ditemui pihak media melahirkan perasaan gembira dan berterima kasih terhadap sumbangan yang telah dihulurkan PWMPKS B.
Menurutnya, setelah kejadian kebakaran tersebut, beliau dan 23 orang ahli keluarganya yang terdiri daripada anak-anak dan cucu-cucunya telahpun menerima sumbangan bantuan daripada pelbagai pihak swasta dan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan.