Bantu, sokonglah mereka yang terjejas

Penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia tidak terkecuali di negara kita setentunya memberikan kesan kepada rakyat dan penduduk di negara ini terutama peniaga-peniaga kecil dan bekerja sendiri.

Apatah lagi sejak negara kita digemparkan sekali lagi dengan gelombang kedua penularan wabak dan rentetan laporan peningkatan kes baharu COVID-19 kalangan komuniti, para peniaga kecil dan mereka yang bekerja sendiri ini lebih merasa bebannya. Ada antaranya menghadapi masalah kewangan dan ada di antara mereka terpaksa menutup perniagaan mereka buat selamanya.

Saya faham langkah-langkah pengawalan diperketatkan semula adalah demi keselamatan negara untuk membendung penularan wabak. Namun bagi mereka yang terjejas masih ada yang berusaha untuk menimbal balik kesukaran mereka pada tahun lalu dan kini dihimpit lagi dengan masalah yang baharu.

Baru-baru ini saya berjumpa dengan salah seorang peniaga di Bandarku Ceria, beliau sendiri menjelaskan kepada saya sendiri, BKC merupakan mata pencarian beliau untuk memberikan makan keluarganya. Kini beliau sendiri mengaku dalam keadaan susah dan terpaksa menawarkan barang jualan BKC beliau kepada pelanggan yang berada di kedai-kedai beliau tuju.

Malah beliau menjelaskan kesan dari penularan wabak ini lebih terasa apabila anak sulung beliau diberhentikan kerja atas alasan syarikat tempat bekerja tidak mampu untuk membayar gajinya. Ini baru seorang yang saya temui merasa kesan yang mendalam terhadap COVID-19, tidak mustahil lebih ramai lagi yang memerlukan bantuan.

Baru-baru ini juga saya ada mendengar keluhan peniaga-peniaga warga asing seperti kedai-kedai gunting dan sebagainya juga merasa kesan daripada penularan wabak ini dan memerlukan bantuan daripada orang ramai.

Kita tahu ramai yang bermurah hati memberikan bantuan makanan minuman kepada para petugas kesihatan dan sukarelawan, namun kita jangan pernah lupa ada golongan yang mungkin dilupakan, tersisih dan kemungkinan boleh jadi antara mereka terlalu tersepit dan tidak punya makanan. Diharap negara kitani dijauhi krisis kemanusiaan.

Sama-sama membantu