Bantu tambah bekalan darah

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JAN – Kementerian Kesihatan, melalui Pusat Pendermaan Darah Jabatan Perkhidmatan Makmal hari ini, mengadakan kempen derma darah di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan.

Kempen bertujuan membantu menambah bekalan darah di hospital dan dalam masa yang sama, meningkatkan kesedaran pentingnya menderma darah secara sukarela demi membantu mereka yang memerlukan bekalan darah.

Ia merupakan satu amalan berkebajikan dan menanam sikap beramal jariah dengan menderma darah yang mampu menyelamatkan nyawa orang lain di kemudian hari.

Pada kempen itu, penderma sukarela turut menjalani pemeriksaan kesihatan ringkas sebelum dibenarkan menderma darah, bagi memastikan mereka cukup sihat untuk menderma darah.

Menurut kenyataan yang diberikan, Pusat Pendermaan Darah memerlukan kesemua jenis darah terutama untuk pesakit Thalassemia, pesakit kurang darah yang menghadapi masalah pendarahan serta pesakit yang baru menjalani pembedahan dan memerlukan bekalan darah tambahan.

Menderma darah secara kerap dan sukarela adalah penting untuk memastikan bekalan darah di tahap optimum dan mencukupi untuk hospital-hospital di negara ini.

ATAS & BAWAH: Antara yang menderma darah pada kempen di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Rahwani Zahari