Bantu tambah bekalan darah

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MEI – Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan akan mengadakan kempen derma darah pada 12, 18 dan 19 Mei ini bermula 8 hingga 10 malam di Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

Kempen derma darah pada waktu malam itu dibukakan kepada penderma-penderma yang beragama Islam khususnya. Bagi penderma yang bukan beragama Islam digalakkan untuk menderma pada waktu siang.

Namun jika tidak ada berkesempatan hendak menderma darah pada waktu pagi, mereka juga dialu-alukan untuk menderma pada waktu malam.

Pendermaan darah secara kerap dan sukarela adalah penting bagi memastikan stok bekalan darah sentiasa pada tahap yang optimum dan mencukupi bagi menampung penggunaan di kesemua hospital di Negara Brunei Darussalam.

Kempen derma darah yang akan diadakan itu juga memerlukan para penderma untuk membuat perjanjian terlebih dahulu melalui laman sesawang, https://calendly.com/bdcripas.