Bantu tambah bekalan darah

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 APRIL – Kementerian Kesihatan, melalui Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal mengalu-alukan orang ramai untuk sama-sama menyertai beberapa kempen derma darah yang akan diadakan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, di sini, Pusat Pendermaan Darah, pada masa ini sedang mengalami stok bekalan darah yang rendah dan memerlukan semua jenis darah bagi kegunaan pemindahan darah pesakit-pesakit di semua hospital kerajaan.

Oleh itu, bantuan orang ramai dalam sama-sama meningkatkan stok bekalan darah di Pusat Pendermaan Darah adalah sangat-sangat diperlukan.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan itu lagi, menyatakan bahawa tiga kempen derma darah akan diadakan iaitu pada 6 April anjuran Jabatan Kerja Raya (JKR) di Dewan Atria Simpur, Aras Bawah, JKR bermula pukul 9 pagi hingga 11 pagi.

Pada 10 April, kempen akan dianjurkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari dan pada 11 April pula, Komuniti India akan menganjurkan kempen serupa di Pusat Promosi Kesihatan, Jalan Menteri Besar, Berakas bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Pada masa yang sama, Pusat Pendermaan Darah beroperasi seperti biasa dan orang ramai boleh mengunjungi pusat berkenaan pada waktu bekerja untuk menderma darah.

Orang ramai juga dibolehkan untuk menggunakan tempat letak kereta berbayar di Blok 10 secara percuma selama dua jam dan diingatkan untuk membawa tiket letak kereta semasa menderma darah.

Waktu pendaftaran menderma darah di Pusat Pendermaan Darah ialah setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu bermula pukul 8 pagi hingga 11:45 pagi dan dari pukul 1:30 petang hingga 4 petang.

Kenyataan mengingatkan orang ramai untuk mengimbas kod QR dan mengamalkan penjarakan sosial di tempat-tempat kempen derma darah diadakan.

Untuk maklumat lanjut atau membuat tempahan bagi mengadakan kempen derma darah, sila hubungi Pusat Pendermaan Darah di talian 2242424 sambungan 5745, 6001 atau 6002 atau e-mel kepada [email protected] dan ikuti Pusat Pendermaan Darah di Instagram dan Facebook (@bloodbank.ripas).