Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 April – Seramai 27 orang ibu tunggal yang telah dikenal pasti oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) melalui Program Meningkatkan Keupayaan Ibu Tunggal, telah menyertai lawatan keusahawanan ke Ladang Haji Zainal bin Haji Safar dan Keluarga serta Pusat Inkubator Makanan Perusahaan Kecil (IMPK), Kilanas, pagi tadi.
Lawatan berkenaan merupakan kesinambungan Program Meningkatkan Keupayaan Ibu Tunggal yang telah diadakan pada 10 sehingga 12 April lalu, yang dikendalikan oleh Yayasan.
Turut menyertai lawatan itu ialah seramai 16 orang mentor yang terdiri daripada bekas pegawai kanan kerajaan yang telah bersara dan pengusaha wanita yang secara sukarela akan membantu pihak Yayasan dalam menyelia, memantau dan membimbing para peserta kursus sepanjang program itu.
Sepanjang lawatan itu, rombongan berpeluang untuk melihat sendiri perkembangan keusahawanan agar mereka dapat diberikan pendedahan mengenai dengan sektor perusahaan sedia ada di negara ini sambil memperkenalkan mereka kepada sektor perniagaan dan perusahaan.
Lawatan juga bertujuan untuk memberikan informasi tentang perusahaan yang bersesuaian dengan kebolehan dan kemahiran ibu tunggal serta membantu membuka mata dan minda di samping menyuntik semangat agar mereka tidak putus asa dalam berusaha, mencontohi dan mengambil iktibar daripada apa yang mereka pelajari dalam lawatan tersebut.



Salah seorang ibu tunggal yang ditemui, Dayang Rostinah binti Haji Adam, 46, menjelaskan bahawa beliau telah menjadi ibu tunggal selama empat tahun dan mempunyai lima orang anak.
Beliau menyatakan bahawa pada masa ini beliau tidak mempunyai pekerjaan dan hanya bergantung hidup dengan pencen arwah suaminya.
Bercakap mengenai cabaran hidup sebagai seorang ibu tunggal adalah dalam menanggung kehidupan anak-anak sendiri dalam mencukupi dan melengkapkan keperluan mereka masing-masing serta menjana kehidupan masa depan mereka.
Beliau juga menjelaskan bahawa anak-anak beliau pun sudah berusia yang mana ada yang juga mendapat pekerjaan dan ada juga yang masih belajar.
“Alhamdulillah saya merasa amat bertuah sebagai seorang ibu tunggal yang diambil perhatian oleh pihak kerajaan dan juga pihak Yayasan yang sangat memberikan keprihatinan berat kepada ibu-ibu tunggal.”
Beliau berharap melalui program itu akan dapat membantu beliau dan para ibu-ibu tunggal yang lain membuka minda untuk membina diri sendiri dengan lebih baik tanpa memerlukan dan bergantung kepada ihsan daripada orang lain.
Program Meningkatkan Keupayaan Ibu Tunggal bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan ibu tunggal bagi membolehkan mereka meningkatkan tahap kehidupan yang selesa di samping meningkatkan penyertaan ibu tunggal yang tidak bekerja sama ada dalam pekerjaan fleksibel atau sara diri.
Selain itu juga untuk membantu ibu tunggal yang mempunyai kemahiran dan pengalaman mendapat bantuan kewangan untuk membina dan mengembangkan perniagaan.