Friday, March 31, 2023
23.2 C
Brunei

-

Bantu tingkat taraf hidup

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Bengkel Cuci Kereta AFSA menunjukkan komitmen dan inisiatif berterusan Aftercare Suppport Association (AFSA) untuk membantu rakan seliaan (RS) di bawah seliaan dan pemantauan pihak AFSA supaya mereka dapat terus berusaha meningkatkan taraf kehidupan masing-masing.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Presiden AFSA, Haji Mustapa bin Haji Masri dalam kata alu-aluannya semasa Majlis Pelancaran Bengkel Cuci Kereta AFSA di Sumbangsih Mulia, Beribi, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pelancaran bengkel cuci kereta berkenaan ialah Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Penasihat AFSA, Dato Jack Ting; Presiden AFSA, Hajah Juhana binti Haji Mohd Jaya, ahli-ahli Jawatankuasa Tadbir AFSA, rakan-rakan strategik AFSA dan jemputan khas.

Haji Mustapa dalam kata alu-aluannya lagi menerangkan bahawa bengkel cuci kereta berkenaan telah beroperasi sejak 2016 di bawah pentadbiran Pusat Reintegrasi dan ia telah diserahkan kepada AFSA pada 1 Disember 2022 di mana pentadbiran dan pengurusan bengkel itu adalah sepenuhnya di bawah urusan pihak AFSA.

Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin dan Dato Jack Ting semasa merasmikan bengkel cuci kereta, kelmarin.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin atas sokongan dan bantuan berterusan kepada pihak AFSA.

Bengkel cuci kereta berkenaan ditaja oleh Yang Dimuliakan Pehin untuk membantu serta memberikan peluang pekerjaan bagi RS supaya mereka dapat terus meningkatkan taraf kehidupan masing-masing.

Pada masa yang sama, Haji Mustapa menyatakan harapan supaya RS akan terus cekal, tabah dan terus berusaha sebagai sebahagian daripada aset negara di mana mereka hendaklah menunjukkan potensi, meningkatkan komitmen, kerja keras, memiliki disiplin yang tinggi serta berintegriti.

Sokongan daripada ibu bapa, penjaga dan masyarakat adalah sangat diperlukan supaya mereka terus dapat memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat.

Pengiktirafan masyarakat adalah sebagai tanda aras bagi mereka untuk dapat terus memberikan komitmen yang positif dan dapat menyahut Wawasan Brunei 2035 kelak.

Majlis kemudian menyaksikan pelancaran bengkel cuci kereta berkenaan disempurnakan bersama oleh Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin dan Dato Jack Ting.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Otai impi meluncur ombak hingga usia 100

FUJISAWA, JEPUN, 30 MAC – Seorang warga emas membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk melakukan pelbagai aktiviti lasak seperti meluncur ombak. Seiichi Sano mula meluangkan...
- Advertisment -