Tuesday, April 22, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bantu usahawan kraf tangan

    Oleh Nurdiyanah R.

    TUTONG, 19 Okt – Dengan matlamat untuk memberi pendedahan kepada para belia untuk sentiasa bergiat aktif dalam membantu golongan warga emas dalam dunia keusahawanan kraf tangan tempatan, rombongan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan Kelab Komuniti Belia Transformasi (KKBT) telah mengadakan kunjungan ke Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong, baru-baru ini.

    Turut hadir semasa lawatan itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) di KSSUP, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali yang sekali gus mengadakan sesi muzakarah bersama ahli-ahli KKBT dan PKWE.

    Antara matlamat sesi muzakarah tersebut adalah untuk menaiktarafkan produk-produk kraf tangan para penduduk mukim dan kampung khususnya yang diusahakan oleh warga emas di Daerah Tutong agar dapat dijadikan sumber pasaran dalam kalangan masyarakat tempatan bahkan juga para pelancong.

    Dalam pada itu, ia juga bertujuan bagi membuka minda para belia untuk sentiasa menyemai sikap berinovatif dalam membantu mempelbagaikan produk-produk kraf tangan tempatan, di samping mendidik para belia dalam mengatur pelbagai strategi pemasaran produk agar sama-sama dapat berganding bahu

    bersama golongan warga emas dalam menjayakan perancangan berkenaan dengan bersistematik, efisien dan efektif.

    Oleh yang demikian, dengan adanya projek keusahawanan sebegini, ia diharap akan dapat membantu menjana ekonomi golongan warga emas yang menghasilkan produk kraf tangan ini dan secara tidak langsung dapat menjadikan PKWE sebagai salah satu destinasi pelancongan berkonsepkan kebudayaan dan kemasyarakatan yang terdapat di Daerah Tutong.

    Awang Wardi bergambar ramai semasa mengadakan sesi lawatan dan muzakarah di PKWE Daerah Tutong, baru-baru ini.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda