Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Bantu warga emas harungi perubahan digital

    Kehidupan warga emas pada abad ke-21 penuh dengan pelbagai cabaran bukan sahaja mengalami proses penuaan fizikal tetapi juga perubahan berterusan kepada dunia kini.

    Penglihatan mereka semakin kabur, pendengaran berkurangan, proses mental menjadi perlahan. Termasuklah masalah-masalah kesihatan lain yang berkaitan dengan usia seperti hipertensi dan warga emas ini bukan lagi individu yang cergas dan berkebolehan seperti dahulu.

    Lima puluh tahun yang lalu, pada awal usia remaja mereka, mungkin perubahan adalah perlahan dan konsisten. Ia lebih mudah untuk menyesuaikan diri dan menerimanya.

    Charles Darwin menegaskan bahawa spesies berubah, menyesuaikan diri dan bertahan secara perlahan-lahan selama milenium.

    Hari ini, perubahan nampaknya satu-satunya ciri tetap dalam kehidupan moden. Kini, warga veteran ini dapat melihat dan mengalami perubahan yang berlaku hampir setiap hari.

    Peranan teknologi dan informasi komunikasi adalah signifikan dalam membantu warga emas mengharungi penuaan yang lebih sihat dan bermakna.
    Kini warga emas juga mempunyai kumpulan sokongan mereka sendiri untuk mengajar satu sama lain cara memajukan mesej, membuat panggilan dan mengendalikan teknologi pintar.

    Perubahan terbesar yang terpaksa mereka hadapi ialah teknologi dalam semua bentuknya. Bayangkan saja perbezaan dalam hidup mereka. Pada masa muda mereka,mungkin telefon adalah talian tetap. Sekarang sukar untuk hidup tanpa telefon bimbit.

    Televisyen pula bersaiz besar, berwarna hitam dan putih. Hari ini, televisyen berwarna bersaiz nipis dan sarat dengan ciri. Malah kereta pula kini dilengkapi dengan elektronik dan, yang paling penting, ia juga dapat bercakap dengan awda!

    Jadi, bagaimanakah warga emas menghadapi semua perubahan ini? Nah, minoriti menerima perubahan dengan sungguh-sungguh, bersemangat untuk meneroka dan mempelajari perkara baharu. Majoriti mereka ini perlu ditarik untuk mengikuti arus perubahan era baharu.

    Namun, terdapat juga segelintir warga veteran ini yang enggan berganjak, yang berdegil enggan menjadi sebahagian daripada landskap yang berubah ini. Mereka lebih suka hidup sesuai cara mereka sama seperti dahulu kala.

    Rasa takut dan malu terima perubahan teknologi

    Bagi kebanyakkan warga emas yang berdegil untuk tidak mengikuti arus perubahan baharu, mereka ini ada yang terpaksa menggunakan komputer untuk bekerja. Hal ini kerana mesin taip dan pencetak roller Gestetner yang lama telah dihapuskan secara berperingkat dan mereka terpaksa menyelesaikan kertas kerja dengan komputer.

    Meskipun mereka bergelut dengan penggunaan komputer, akhirnya mereka juga menerima kegunaannya, dan hal serupa juga berlaku, ketika telefon bimbit mula-mula diperkenalkan.

    Majoriti warga veteran ini enggan dan takut untuk mengikuti perubahan tersebut. Salah satu alasannya adalah kerana mereka sebelumnya tidak mempunyai telefon bimbit.

    Realitinya ialah mereka takut untuk belajar menggunakan alat baharu ini. Lebih-lebih lagi, ada yang takut untuk menunjukkan yang mereka tidak tahu bagaimana menggunakannya dan kelihatan seperti orang bodoh.

    Malangnya, ramai warga emas termasuk dalam kategori ini. Ramai warga emas sukar menggunakan teknologi baharu walaupun mereka dahulunya merupakan pakar yang cekap dan berpengetahuan dalam bidang mereka.

    Di rumah, dengan kertas, buku dan perpustakaan, kini, ramai warga emas yang kagum dengan pengetahuan segera yang boleh diperoleh dengan mudah di hujung jari.

    Kebanyakan mereka tidak percaya dengan semua ini, tambahan pula mereka malu untuk meminta bantuan daripada orang muda di sekeliling mereka untuk mendapatkan tunjuk ajar.

    Walaupun ia begitu mudah bagi orang muda, tetapi nampaknya hal ini mengambil sedikit masa untuk warga emas memahami dan mengekalkan cara menghantar mesej, cara memajukannya, cara menggunakan Skype atau yang paling teruk, melakukan pembayarana secara dalam talian menerusi Internet!

    Perbankan tidak lagi seperti dahulu. Kad ATM dan nombor pin adalah satu keperluan. Bagi warga emas yang kian meningkat usia, mengingati nombor pin boleh menjadi masalah.

    Sebilangan pihak bank juga ada yang memaklumkan bahawa setiap pengguna bank kini memerlukan nombor pin untuk kad kredit terkini.

    Perbankan Internet adalah idea yang menakutkan kerana segelintir warga emas tidak percaya dengan keselamatan dan takut mengetik sesuatu yang salah dan melenyapkan semua wang titik peluh mereka.

    Di mana dahulu, warga emas hanya perlu mengumpul semua bil dan pergi ke TNB, Telekom atau Syabas untuk membuat pembayaran, kini semuanya boleh dilakukan secara dalam talian atau melalui kad kredit.

    Ini sangat tidak peribadi. Membayar bil membuatkan mereka berasa terkawal. Mereka berdikari.

    Mereka keluar, membayar bil, kemudian berjumpa rakan-rakan untuk makan atau membeli-belah sebelum pulang. Teknologi telah menghilangkan tujuan hidup ini.

    Perubahan peranan pada era digital

    Sebilangan warga emas juga tidak suka sering bergantung kepada golongan muda di zaman teknologi ini! Pembalikan peranan, terutamanya untuk seorang guru, tidak mudah diterima dengan baik.

    Dahulunya warga emas adalah orang yang mengetahui hampir segala-galanya, kini mereka perlu dengan rendah hati bertanya kepada anak-anak muda ini (malah mereka yang juga di sekolah rendah) bagaimana menggunakan telefon pintar atau mereka untuk datang dan menjelaskan mengapa semua maklumat dalam telefon pintar mereka (warga emas) tiba-tiba hilang.

    Ia sedikit memalukan, apabila anak-anak muda ini dengan satu ketikan jari, klik semuanya kembali untuk membuat pesanan. Bagaimanapun, teknologi membuatkan warga emas juga aktif secara mental. Ia memaksa mereka untuk menerima perubahan dan bergerak ke hadapan.

    Ada kelebihan tentunya. Skype atau Zoom membolehkan mereka berinteraksi dan berkomunikasi dengan ahli keluarga di luar negara. Telefon pintar membolehkan mereka membuat panggilan percuma di peringkat tempatan dan antarabangsa.

    Kumpulan sembang WhatsApp membantu warga emas yang mempunyai masa untuk menyebarkan mesej lebih cepat daripada kebakaran! Mereka dapat belajar perbendaharaan kata baharu setiap hari.

    Kini perkataan seperti muat turun, forward dan pos adalah sebahagian daripada perbendaharaan kata harian mereka.

    Adaptasi dengan teknologi saluran baharu

    Warga emas tidak lagi diasingkan secara sosial. Mereka tidak perlu hanya duduk di hadapan televisyen.

    Mereka juga boleh mendapatkan maklumat dan berinteraksi, mereka boleh bercakap dan mendengar orang lain.

    Kini dengan hanya melayari Google, menggunakan telefon pintar, warga emas dapat mengetahui sama ada simptom kesihatan yang mereka hadapi serius atau hanya hipokondria mereka yang semakin tua.

    YouTube juga memberikan warga emas sedikit keseronokan seperti penawar ajaib atau, jika mereka berasa bosan, sesi dengan ABBA atau Bee Gees mampu menceriakan hari.

    Warga emas juga mempunyai kumpulan sokongan mereka sendiri untuk mengajar satu sama lain cara mengajukan mesej, membuat panggilan dan mengendalikan teknologi ini.

    Mereka boleh melakukan semua ini tanpa meminta bantuan cucu ‘superior’ atau remaja yang sibuk! Mereka boleh mentertawakan satu sama lain tentang ketidakberdayaan dan kesilapan yang memalukan kerana setiap daripada mereka telah melaluinya.

    Kini menerusi kumpulan WhatsApp, warga emas dapat memulakan hari mereka dengan pelbagai mesej Selamat Pagi.

    Ia hampir seperti pertandingan untuk melihat siapa yang boleh menghantar ucapan pagi yang paling menginspirasikan atau paling indah.

    Lebih baik lagi, ia telah me-ningkatkan hubungan mereka dengan ahli keluarga. Warga emas kini mempunyai masa untuk satu sama lain yang tidak sibuk, dan mereka tidak perlu pergi ke Kuala Lumpur atau Johor Bahru untuk berbuat demikian.

    Kini, warga emas boleh menikmati idea untuk boleh terus berhubung dengan rakan-rakan di dalam dan luar negara. Mereka boleh membincangkan aktiviti harian – kegembiraan, kejayaan dan gangguan kecil.

    Apa yang menyegarkan tentang perubahan teknologi ini ialah saluran komunikasi baharu dan lebih mudah yang telah dibuka untuk kita.

    Teknologi mengubah kehidupan kita semua tetapi dengan menerima perubahan, kini warga emas dapat menjalani kehidupan yang kurang terpencil dan lebih bermatlamat dan diperkaya dalam usia emas mereka. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 remaja ditahan dalam serbuan antikeganasan

    SYDNEY, 24 APRIL - Polis Australia memberkas tujuh remaja dalam serbuan antikeganasan hari ini, dengan dakwaan rangkaian itu mungkin merancang serangan dan menimbulkan ‘risiko...