Tuesday, April 16, 2024
36 C
Brunei

    -

    Bantuan AS$3.7 juta untuk Rohingya

    DHAKA, 23 NOV – Jepun dan Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) kelmarin menandatangani bantuan bernilai AS$3.7 juta kepada pelarian Rohingya di Pulau Bhasan Char di Teluk Benggala dan komuniti tuan rumahnya, lapor agensi Anadolu.

    Sumbangan itu bertujuan meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan seksual dan reproduktif, melindungi maruah dan keselamatan wanita dan gadis daripada keganasan berasaskan jantina dan memperkasakan remaja dan belia, menurut Kedutaan Jepun di Dhaka.

    Bangladesh telah memindahkan hampir 20,000 pelarian Rohingya ke Bhasan Char sejak Disember lalu.

    Lebih 1.2 juta Rohingya mendapatkan perlindungan di negara itu selepas melarikan diri daripada tindakan kejam tentera Myanmar.

    Tahun lalu, PBB menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Bangladesh bagi menyalurkan perkhidmatan kemanusiaan dan lain-lain di pulau itu.

    Kumpulan antarabangsa dan Rohingya sendiri telah berulang kali menentang rancangan memindahkan pelarian ke pulau yang terletak kira-kira 50 kilometer dari pantai barat daya negara itu, kerana terputus hubungan dari tanah besar dan berisiko tinggi menghadapi bencana alam.

    “Ramai wanita dan kanak-kanak perempuan mengalami masalah kesihatan berkaitan reproduktif dan keganasan berasaskan jantina akibat krisis Rohingya yang berlarutan, manakala bantuan kepada kawasan tersebut agak terhad.

    “Memandangkan krisis Rohingya telah memasuki tahun keenam, adalah penting untuk meneruskan pembiayaan bagi kehidupan pelarian yang lebih baik dan bermaruah, sambil berusaha sedaya upaya untuk penghantaran pulang awal ke Myanmar,” kata Duta Besar Jepun ke Bangladesh, ITO Naoki.

    Sejak darurat diisytihar di Myanmar pada Ogos 2017, Jepun telah menyokong tindak balas pelarian Rohingya yang mencari perlindungan di Bangladesh, menyumbang lebih AS$175 juta kepada UNFPA dan agensi dan NGO PBB lain, termasuk melalui pembiayaan baharu ini. – Bernama

    Etnik Rohingya semasa mendarat di Utara Aceh, Indonesia. Jepun dan UNFPA kelmarin menandatangani bantuan untuk pelarian Rohingya di Pulau Bhasan Char di Teluk Benggala, India. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bot karam di Kashmir India bunuh sekurang-kurangnya 4 orang

    SRINAGAR, 16 APRIL - Sebuah bot yang membawa sekumpulan orang terbalik di sungai di Kashmir yang dikuasai India pada hari ini, menenggelamkan empat daripada...