Bantuan buat golongan terkesan penularan COVID-19

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Bantuan kewangan akan dihulurkan kepada tiga golongan pekerja sektor swasta yang terkesan oleh penularan wabak COVID-19 bagi tempoh tiga bulan bermula 1 September 2021.

“Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) dengan ini sukacita memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah pun mengurniakan titah perkenan bagi bantuan berupa kewangan dihulurkan kepada tiga golo-ngan pekerja di sektor swasta yang terkesan akibat pandemik COVID-19.”

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah mengumumkan bantuan berkenaan semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

Beliau menerangkan bahawa tiga golongan pekerja sektor swasta berkenaan ialah mereka yang kehilangan pekerjaan di mana pemberhentian adalah disebabkan impak pandemik COVID-19 kepada syarikat dan bukan disebabkan tindakan disiplin yang dikenakan oleh pihak syarikat atau pekerja berkenaan berhenti sendiri, mereka yang dicutikan tanpa gaji melebihi tujuh hari sama ada dise-babkan oleh impak pandemik COVID-19 kepada syarikat yang berkenaan atau dikeluarkan Perintah Kuarantin (QO) oleh Kementerian Kesihatan serta mereka yang bekerja sendiri.

Bantuan khas kewangan itu adalah untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam khususnya mereka yang bekerja dengan sektor swasta yang terkesan daripada pandemik COVID-19 yang mendapat gaji pokok $1,500 dan kebawah sebulan, jelas Yang Berhormat Dato.

Mereka yang terkesan kerana menerima Perintah Kuarantin (QO) dan tidak menerima pendapatan, boleh mendapatkan bantuan.

Ia juga untuk menolong sektor swasta dalam memperbaiki aliran tunai perniagaan dalam menangani impak pandemik COVID-19, ulasnya lagi, dengan bantuan itu tidak termasuk mereka yang bekerja di sektor awam dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau seterusnya menerangkan mengenai tatacara dan kriteria untuk mendapatkan bantuan iaitu bagi pekerja yang kehilangan pekerjaan dan dicutikan tanpa gaji, permohonan perlulah dihadapkan melalui Sistem Kebajikan Negara (SKN) yang telah diubah khas untuk memproses permohonan yang dimaksudkan dan boleh diakses melalui laman sesawang www.skn.gov.bn.

Mereka hendaklah berdaftar dan mencarum secara aktif dengan TAP sehingga sekurang-kurangnya bulan Julai 2021, surat akuan daripada majikan hendaklah dimuat naik (upload) ke dalam SKN di mana surat berkenaan hendaklah menyatakan tarikh bermula mereka diberhentikan, di mana pemberhentian mereka adalah disebabkan oleh impak pandemik COVID-19 kepada syarikat dan bukannya disebabkan tindakan disiplin yang dikenakan oleh pihak syarikat atau pekerja berkenaan berhenti sendiri serta bagi pekerja yang dicutikan tanpa gaji melebihi tujuh hari sama ada disebabkan impak pandemik COVID-19 kepada syarikat yang berkenaan atau dikeluarkan QO oleh Kementerian Kesihatan.

Surat daripada majikan yang menjamin pekerjaan mereka setelah situasi kembali seperti biasa dan screenshot QO dari aplikasi BruHealth hendaklah di muat naik (upload) ke dalam SKN.

Manakala itu, bagi mereka yang bekerja sendiri dinasihatkan untuk menghadapkan permohonan melalui SKN untuk mendapatkan elaun Bantuan Kebajikan Bulanan (BKB) yang boleh diakses melalui laman sesawang www.skn.gov.bn, di mana pihak Kementerian Kewangan dan Ekonomi akan bekerjasama dengan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) bagi memastikan permohonan ini diproses mengikut tempoh bersesuaian.

Beliau turut menerangkan bahawa video panduan yang lengkap mengenai tatacara membuat Permohonan Bantuan COVID-19 Melalui SKN boleh diakses melalui saluran YouTube SKN Brunei.

Manakala itu, bagi pekerja yang kembali berkhidmat selepas dicutikan tanpa gaji bagi tempoh melebihi tujuh hari, majikan bolehlah mendapatkan bantuan subsidi pembayaran gaji sebanyak 30 peratus untuk tempoh tiga bulan daripada pekerja berkenaan kembali bekerja di mana pemberian itu adalah tertakluk kepada penilaian Kementerian Kewangan dan Ekonomi dari semasa ke semasa.

Kadar bantuan-bantuan kewangan yang akan dihulurkan dibahagikan kepada dua kategori seperti bagi mereka yang berstatus bujang, bantuan akan diberikan sebanyak $250 sebulan.

Manakala itu, bagi mereka yang berstatus kahwin, bantuan akan dihulurkan sebanyak $250 sebulan dan $50 sebulan bagi setiap tanggungan termasuk suami atau isteri dan anak sehingga empat orang anak sahaja yang berumur di bawah 18 tahun dan tidak menerima sebarang elaun daripada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia seperti elaun penuntut, dan elaun-elaun kebajikan dari KKBS atau Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB). Permohonan bagi mendapatkan bantuan itu hanya akan dipohonkan oleh sama ada ibu atau bapa atau penjaga.

Yang Berhormat Dato seterusnya menyatakan bahawa bantuan itu dihulurkan untuk tempoh tiga bulan bermula pada 1 September, 2021.

Sementara itu, bagi mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai permohonan bantuan khas kewangan, mereka boleh menghubungi melalui e-mel, [email protected] atau melalui pusat panggilan TAP di talian 2382800 atau 2382929 bagi pertanyaan tatacara permohonan dan di talian 8191000 bagi Jabatan Perbendaharaan bagi pertanyaan pembayaran.

Walau bagaimanapun, pemohon akan dimaklumkan melalui SMS notification berkenaan dengan status permohonan dan pembayaran.

“Akhir sekali, berikutan dengan tindakan interim yang dilaksanakan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, saya menyeru dan mengingatkan kepada peniaga-peniaga untuk tidak memberhentikan pekerja khususnya anak-anak tempatan dan bagi majikan untuk tidak menyalahgunakan kemudahan-kemudahan yang diberikan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia,” tambah beliau.