Bantuan buat Palestin

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 APRIL – Rakyat negara ini bersama-sama membantu rakyat Palestin melalui sejumlah $1,245,100.15 wang yang telah disalurkan ke Tabung Kemanusiaan Palestin 2021.

Wang tersebut digunakan untuk menyalurkan dua jenis bantuan iaitu sebanyak 115,000 bantuan berupa pek makanan dan pembelian enam buah ambulans.

Sehubungan itu, majlis doa selamat pelepasan penghantaran kontena mengandungi makanan telah berlangsung hari ini Gudang Ghanim yang dihadiri oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Pengiran Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani dan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari. Ketua Pegawai Eksekutif Ghanim, Dr Nur Rahman dalam ucapannya di majlis itu menjelaskan, penghantaran dua buah kontena berukuran 40 kaki yang mengandungi 2,000 karton Kabsa Ayam, Jerish Ayam dan Rendang Daging Lembu yang mudah dan padat berkhasiat akan berlepas dari Brunei pada 20 April ini.

Menurutnya, sejak Ogos 2021, pasukan Gnanim telah berurusan dengan banyak pihak termasuk UNRWA, Pihak Berkuasa Keishatan Israel melalui UNRWA, pembekal Ghanim, ejen perkapalan dan pihak lain yang berkaitan sehingga mencapai peringkat akhir ini.

Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Jawatankuasa Kebangsaan untuk Tabung Kemanusiaan Palestin 2021 dan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan atas kepercayaan diberikan kepada Ghanim bagi mengendalikan sumbangan makanan ini.

Menurut kenyataan dari KKBS, bantuan diharap meringankan bebanan dan kehidupan rakyat Palestin.

Pengiran Hajah Zety Sufina dan Hajah Nor Ashikin bersama pihak warga pengurusan Ghanim pada majlis doa selamat tersebut.
Kargo bantuan mengandungi makanan untuk rakyat Palestin.