Bantuan hampir RM1b untuk M’sia

KUALA LUMPUR, 28 MAC – Amerika Syarikat (AS) meluluskan kira-kira AS$230 juta iaitu hampir RM1 bilion bantuan keselamatan untuk Malaysia sejak tahun 2018 antara lain dalam program latihan dan pertukaran berkaitan ketenteraan.

Jeneral Memerintah Tentera Amerika Syarikat Pasifik (USARPAC) Charles A. Flynn berkata bantuan itu juga termasuk penyediaan peralatan serta pendidikan.

“AS berbangga dapat bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia dalam bidang pembangunan utama dan menantikan perbincangan Malaysia-AS pada tahun ini yang menjanjikan perkembangan hubungan dua hala yang lebih lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sebelum merasmikan US Partnership Pavilion sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini. Turut hadir Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Brian D. Mcfeeters.

Flynn berkata perkongsian antara AS dan Malaysia diasaskan berdasarkan prinsip keselamatan dan kesejahteraan serta hubungan pelbagai hala dan perkongsian beban di seluruh Asia Tenggara.

“Tentera Malaysia menunjukkan prinsip-prinsip ini dalam komitmen mereka ketika menyertai latihan dua hala seperti Keris Strike dan Bersama Warriors walaupun berdepan cabaran COVID-19,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai DSA dan Natsec 2022, Mcfeeters mengucapkan penghargaan kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin kerana menganjurkan acara tersebut. “Malaysia sangat penting bagi Amerika Syarikat, ekonomi ketiga terbesar di ASEAN dan rakan dagang AS kedua terbesar di Asia Tenggara,” katanya.

Sebanyak 12 syarikat AS mempamerkan produk mereka di pavilion AS bermula hari ini hingga Khamis. Pavilion AS adalah antara 20 pavilion yang diwakili 20 negara yang mengambil bahagian dalam acara pertahanan antarabangsa. – Bernama

Replika Helikopter Misi Maritim dipamerkan pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). – Bernama