BEIJING, 14 DIS – Majlis penyerahan barangan bantuan kecemasan kumpulan kedua China kepada Afghanistan diadakan di Kabul pada Isnin yang turut dihadiri Duta China ke Afghanistan, Wang Yu serta Pemangku Timbalan Menteri Hal Ehwal Pelarian Kerajaan Sementara Afghanistan, Arsala Khan Haruti.
Pada majlis itu, Wang Yu menyifatkan ia sebagai fasa bersejarah bagi Afghanistan, peralihan daripada huru-hara kepada ketenteraman walaupun negara itu masih menghadapi pelbagai cabaran dalam bidang ekonomi, masyarakat dan kehidupan rakyat.
Beliau berkata China selaku jiran, saudara serta rakan kongsi sangat prihatin terhadap perkembangan di Afghanistan sejak sekian lama dan barangan bantuan musim sejuk yang meliputi 40,000 baju sejuk dan 70,000 selimut mencerminkan keakraban antara rakyat kedua-dua negara.
“China akan terus memperkukuh kerjasama melibatkan pelbagai sektor dengan Afghanistan berdasarkan prinsip kesaksamaan dan saling menghormati, menyokong pembinaan semula ekonomi dan pembangunan bermandiri Afghanistan bagi memberikan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” kata Wang.
Sementara itu, Arsala Khan Haruti merakamkan penghargaan kepada China atas bantuan tersebut dan berharap masyarakat antarabangsa memberikan sokongan yang sama seperti yang dilakukan China. – Bernama