Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Bantuan kemanusiaan Malaysia mampu realisasikan impian anak Syria

    JARABULUS, SYRIA – Meskipun menyimpan pelbagai kisah duka, anak-anak pelarian Syria tetap mampu mengukir senyuman tatkala anggota misi kemanusiaan dari Malaysia di sini menyantuni mereka di kem-kem pelarian dalam negara sekitar bandar raya ini.

    Kanak-kanak adalah antara kumpulan yang teruk terjejas akibat perang yang memuncak mulai 2011, dengan segelintir besar daripadanya menjadi anak yatim piatu atau kehilangan ibu atau bapa mereka.

    Pengarah Program ATAA Foundation Abdul Aziz Mansour berkata dengan bantuan rakyat Malaysia untuk menaja anak yatim ini atau keluarga miskin, kehidupan mereka akan bertambah baik memandangkan mereka memerlukan bantuan untuk memulakan hidup selepas terjejas teruk akibat perang.

    “Berdasarkan statistik terakhir, lebih 1.2 juta kanak-kanak di utara Syria kini menjadi yatim piatu, tanpa bapa dan ibu kerana pengeboman dan perpindahan dari satu kawasan ke kawasan lain.

    “Jadi dalam kes ini, kami memohon program penajaan termasuk bukan sahaja bantuan wang tunai tetapi juga pakej penuh untuk membantu anak-anak yatim ini dan membantu keluarga yang memerlukan,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan bantuan kepada keluarga miskin serta orang pelarian dalaman (IDP) di kem pelarian bersama Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dan Econsave di sini Khamis lalu.

    Pengurus Program Yayasan ATAA Abdul Aziz Mansour (kiri) dan Pengurus Pejabat Yayasan ATAA Tareq Ahmad (kanan), berkongsi pengalaman dalam mengendalikan program untuk pelarian dalaman (IDP) di Syria. – Bernama

    Antara bantuan yang diberikan ialah wang tunai, kerusi roda dan kotak makanan. Menurut Abdul Aziz, program tajaan anak yatim serta keluarga miskin tersebut yang telah pun bermula sejak enam tahun lepas, antara lain boleh digunakan untuk pendidikan, perlindungan serta lain-lain keperluan hidup.

    “Sehingga tahun lepas, 20,000 kanak-kanak meraih manfaat daripada program ini dan keperluannya lebih banyak,” tambahnya. 

    Sementara itu, Ahli Pemegang Amanah MyCARE Dr Mohd Zin Kandar berkata pihaknya telah melaksanakan program tajaan anak yatim dan keluarga miskin sejak 2010.

    “Antara kumpulan pertama ialah anak-anak Palestin di Lubnan iaitu di Beirut pada tahun 2010. Kami ada unit khas dan kakitangan MyCARE yang mengendalikan program tersebut dan kami peroleh data dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang merupakan rakan strategik kami di Lubnan, Gaza dan Salam Association di Jabalia, juga di Gaza, serta di Iraq, Syria dan Filipina.

    “Jadi kami telah melaksanakan program ini berterusan dan menawarkan pakej tajaan anak-anak yatim ini kepada penaja kita di Malaysia sama ada dalam kalangan individu mahupun secara berkumpulan,” kata beliau.

    Mohd Zin berkata untuk tajaan anak yatim di Palestin, Syria dan Iraq, nilainya adalah AS$50 sebulan manakala untuk keluarga miskin pula adalah sebanyak AS$100 hingga AS$250 sebulan.

    Misi kemanusiaan MyCARE-Econsave yang diketuai oleh Mohd Zin, turui disertai Pengurus Besar Econsave Mas Imran Adam dan lima pengamal media. Misi tersebut yang bermula dari 25 Jun sehingga 6 Julai, dijangka melibatkan tiga bandar di Syria iaitu A’zaz, Jarabulus dan Al Bab. – Bernama

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...