Bantuan kepada sektor terjejas

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi pengemaskinian langkah-langkah interim menangani cabaran-cabaran akibat penularan COVID-19 di negara ini.

Pengemaskinian langkah-langkah itu dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada hari ini.

Menurutnya, langkah-langkah interim itu mula berkuatkuasa pada 1 Ogos 2021 dan akan berjalan sehingga 31 Disember 2021.

Langkah-langkah interim tersebut merangkumi penangguhan pembayaran ke atas caruman TAP dan SCP bagi pekerja-pekerja tempatan yang berpendapatan kurang daripada $1,500 sebulan di sektor-sektor yang terjejas di dalam kategori perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dengan jumlah pekerja yang tidak melebihi daripada 100 orang sehingga 31 Disember 2021.

Menurut beliau, caruman oleh syarikat-syarikat akan dibayar terlebih dahulu oleh pihak kerajaan untuk memastikan bayaran dividen tahunan kepada pekerja-pekerja di sektor swasta tidak akan terjejas.

Langkah-langkah interim itu mula berkuatkuasa sehingga 31 Disember 2021 bagi membantu sektor yang terjejas di dalam kategori perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Dalam pada itu, syarikat-syarikat terjejas adalah disarankan menghadapkan permohonan kepada Tabung Amanah Pekerja melalui e-mel [email protected]

Pembayaran balik TAP dan SCP adalah perlu dalam masa satu tahun selepas tempoh kemudahan ini berakhir.

Selain itu langkah tersebut termasuk memberikan subsidi pembayaran gaji sebanyak 25 peratus kepada pekerja tempatan di PMKS yang mempunyai pekerja yang tidak melebihi 100 orang dari 1 Ogos sehingga 31 Disember 2021.

Kerajaan juga akan membiayai caruman SCP kepada golongan yang bekerja sendiri dalam tempoh yang dinyatakan.

Manakala kadar sewa ba-ngunan kerajaan kepada PMKS mengikut perusahaan yang terjejas turut diberikan diskaun sekurang-kurangnya 30 peratus.

Manakala diskaun cukai sebanyak 50 peratus ke atas cukai pendapatan korporat bagi tahun taksiran 2022 kepada sektor yang terjejas turut diberikan. Diskaun 20 peratus bagi bil-bil air dan elektrik keatas syarikat-syarikat yang terjejas turut diberikan dan duti kastam dan eksais bagi produk-produk kebersihan diri dikecualikan sehingga 31 Disember 2021.

Untuk mendapatkan kemudahan itu, jelas beliau, syarikat-syarikat adalah dikehendaki membuat fail mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan.