Bantuan kewangan khas mula diagihkan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 APRIL – Bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai bantuan khas kepada mereka yang terjejas akibat COVID-19, satu majlis penyerahan bantuan kewangan telah diadakan di Bilik Dhiyafah, Tingkat 5, Pejabat Menteri Hal Ehwal Ugama, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis, kelmarin.

Bantuan kepada peniaga-peniaga tamu, gerai dan pasar, pemandu-pemandu perahu tambang, teksi, Dart dan pemandu pelancong itu diserahkan oleh Majlis Ugama Islam (MUIB) melalui Kumpulan Wang Pentadbiran Am kepada mereka yang berdaftar di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Hadir bagi menyerahkan sumbangan tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku yang di pertua Majlis Ugama Islam kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof; dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin bagi pihak kementerian masing-masing yang akan menyampaikan kepada mana-mana yang disenaraikan oleh pihak kementerian.

MUIB mempunyai beberapa kumpulan wang yang ditadbir sebagaimana yang telah diperuntukkan di bawah Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-mahkamah Kadi Penggal 77 iaitu Kumpulan Wang Pentadbiran Am, Kumpulan Wang Zakat dan Kumpulan Wang Wakaf.

Bantuan kewangan Majlis Ugama Islam yang akan diberikan kepada peniaga atau pengusaha yang terjejas pendapatan akibat penularan wabak COVID-19 ini adalah daripada Kumpulan Wang Pentadbiran Am, Majlis Ugama Islam iaitu wang kutipan hasil perkhidmatan agama seperti mahkamah-mahkamah syariah, bayaran sijil dan permit halal, faedah bank, penjualan dan pengambilan balik tanah kerajaan, sewa tanah, sewa kedai, wang yang diserahkan kepada Baitul Mal dan harta yang tidak bertuan.

Jumlah keseluruhan penerima ialah seramai 2,154 orang peniaga atau pengusaha kecil yang terjejas pendapatan dan jumlah keseluruhan bantuan kewangan ialah sebanyak $1,938,600.

Setiap seorang akan menerima sebanyak $900 iaitu $300 akan dibayar bagi tempoh 3 bulan di mana bantuan diberikan kepada peniaga dan pengusaha kecil yang terjejas termasuk yang bukan beragama Islam dengan mengambil kira kesan pemberian kepada mereka itu adalah baik kepada orang Islam dan agama Islam.

Jumlah bantuan kewangan Majlis Ugama Islam yang di-serahkan kepada KHEDN ialah sebanyak $1,719,000 iaitu bagi 1,910 orang peniaga dan pengusaha kecil terdiri daripada peniaga tamu, gerai dan pasar. Manakala, jumlah bantuan kewangan Majlis Ugama Islam yang diserahkan kepada KSSUP ialah sebanyak $72,900 iaitu bagi membantu 81 orang pemandu pelancong.

Seterusnya, jumlah bantuan kewangan Majlis Ugama Islam yang diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi ialah sebanyak $104,400 iaitu bagi 116 orang pemandu teksi, Dart dan pemandu-pemandu perahu tambang dan bantuan kewangan Majlis Ugama Islam yang diserahkan kepada KKBS ialah sebanyak $42,300 iaitu bagi 47 orang peniaga kecil-kecilan.

Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin menyampaikan bantuan kewangan kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan bantuan kewangan kepada Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan bantuan kewangan kepada Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan bantuan kewangan kepada Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan.