Bantuan makanan Yaman dipertingkat

GENEVA, 9 Nov – Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kelmarin berkata hampir dua kali ganda bantuan makanan telah disalurkan ke Yaman bagi membantu 14 juta orang dalam sebulan, hampir separuh jumlah penduduk negara yang dilanda perang itu.

Yaman berdepan krisis kebuluran terburuk tatkala tentera kerajaan pimpinan Arab Saudi menentang pejuang Huthi.

Pada Rabu lalu, sejumlah 35 NGO Yaman dan antarabangsa menyeru untuk menghentikan permusuhan dengan segera dan berkata sejumlah 14 juta orang berdepan kebuluran.

WFP menyediakan bantuan makanan kepada kira-kira tujuh hingga lapan juta orang setiap hari, “tetapi situasi tersebut semakin teruk apabila WFP bersedia untuk meningkatkan bantuan,” beritahu jurucakap Herve Verhoosel kepada para wartawan di Geneva kelmarin.

Tambahnya, “Petanda menunjukkan usaha yang lebih besar adalah diperlukan untuk menghindarkan daripada kebuluran. Sasaran baharu sejumlah 14 juta orang memerlukan kerja-kerja logistik yang lebih banyak.”

Menurut WFP, keganasan itu perlu dihentikan dengan segera bagi memberi peluang kepada Yaman untuk mengelak krisis kebuluran.

“JIka tidak dihentikan, ia akan menjadi negara yang dihuni oleh mayat hidup, penduduknya kebuluran. Kemanusiaan hanya dapat dilakukan semampu itu dengan ancaman pengeboman yang tidak henti-henti dan taktik peperangan yang tidak berhati perut yang menjejaskan semua orang.”

WFP berkata ia memerlukan lebih banyak dana untuk menyediakan makanan kepada mereka yang memerlukan.

Bajet untuk lapan juta orang adalah kira-kira AS$125 juta setiap bulan tetapi situasi keselamatan makanan semakin teruk dan WFP bersedia untuk meningkatkan program makanan dan permakanan, ia jelas apabila keperluan dana akan dipertingkatkan dengan sewajarnya.” – AFP