Bantuan menjelang Syawal dipergiatkan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Memasuki minggu ketiga puasa, kempen-kempen bagi membantu golongan yang memerlukan dan meringankan bebanan orang ramai menjelang Aidilfitri terus digiatkan sama ada dalam bentuk sumbangan kewangan, makanan dan pakaian.

Persatuan Pengakap Daerah Brunei dan Muara (PPDBM) dengan kerjasama Persatuan Pacuan Empat Roda, Kelab Belia Ashabul Halim, Masjid Pengiran Muda Abdul Malik dan Makan Ceria Sdn Bhd turut tidak ketinggalan mengadakan projek amal diberi nama Messengers of Peace: Bantuan Derma Barangan Asasi bagi Kampung Sukang.

Projek yang dilaksanakan adalah untuk mengumpul keperluan barangan makanan asasi untuk diserahkan kepada 26 buah keluarga yang memerlukan di Kampung Sukang, Daerah Belait.

Projek pengumpulan barangan makanan asasi berkenaan telah bermula pada 13 Mei lalu hingga kelmarin di mana Masjid Pengiran Muda Abdul Malik, Kampung Tungku menjadi tempat pengumpulan barangan makanan asasi bagi orang ramai yang ingin menyumbangkan barangan keperluan bagi projek itu.

Barangan yang berjaya dikumpulkan bagi projek berkenaan telah dihantar ke Kampung Sukang oleh rombongan ahli pengakap, Persatuan Pacuan Empat Roda, Kelab Belia Ashabul Halim, Masjid Pengiran Muda Abdul Malik dan Makan Ceria Sdn Bhd di mana majlis pelepasan rombongan berlangsung di hadapan Bangunan Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, hari ini. Hadir menyempurnakan pelepasan rombongan berkenaan dan turut serta dalam penghantaran barangan berkenaan ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali.

Semasa di Kampung Sukang, Daerah Belait, sumbangan tersebut diserahkan oleh wakil daripada tiga organisasi yang menyertai rombongan termasuk Haji Awang Badar kepada Pemangku Penghulu Mukim Sukang, Haji Mohammad Noh bin Datu Maharaja Setia Dian yang akan menyerahkan sumbangan itu kepada 26 buah keluarga yang dikenal pasti.

Penganjur projek berkenaan menyatakan penghargaan kepada orang ramai yang menyumbangkan keperluan barangan makanan asasi dan berharap sumbangan itu akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda daripada Allah SWT.

Haji Awang Badar menyampaikan sumbangan berupa barangan asasi kepada Haji Mohamad Noh di Kampung Sukang.
Haji Badar (kanan) menerima sumbangan derma barangan asasi bagi Kampung Sukang untuk projek amal itu.