Monday, October 3, 2022
23.6 C
Brunei

Bantuan pakar khusus Kesultanan Oman dihargai

-

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, petang tadi mengalu-alukan kunjungan rombongan pegawai dari Kesultanan Oman diketuai oleh Penasihat kepada Menteri Pendidikan bagi Pendidikan Media dan Ketua Pejabat Menteri Pendidikan, Kesultanan Oman, Dr Saeed bin Saif Al Ameri, selaku penyelia am Program Kerjasama Kebudayaan di antara Kesultanan Oman
dan Negara Brunei Darussalam.

Rombongan turut disertai oleh pegawai penyelaras Program Tadreeb Al-Mu’allim 2022 serta empat tenaga pakar dari Kementerian Pendidikan, Kesultanan Oman.

Kunjungan berlangsung di Bilik Dhiyafah, Tingkat 5, Bangunan Tambahan Baharu Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Jalan Dewan Majlis.

Dalam sesi kunjungan hormat tersebut, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyambut baik kehadiran delegasi tersebut dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas bantuan pakar-pakar khusus dari Kesultanan Oman dalam bidang pengajaran Bahasa Arab kepada bukan penuturnya bagi menjayakan program-program pemerkasaan Bahasa Arab di Negara Brunei Darussalam.

Antara bantuan pakar khusus tersebut termasuk Program Tadreeb Al-Mu’allim bagi guru-guru Bahasa Arab di sekolah-sekolah Arab dan institut tahfiz Al-Quran dan juga Program Pertukaran Budaya.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa mengalu-alukan kunjungan Dr Saeed pada majlis yang berlangsung di Bangunan Tambahan Baharu KHEU, Jalan Dewan Majlis, kelmarin. – Gambar serahan KHEU

Program-program kerjasama yang dirancang adalah untuk meningkatkan kemahiran pendidikan dalam bidang pengajaran Bahasa Arab dan interaksi antara mudarrib dan guru peserta, serta menjadikan guru peserta lebih yakin dengan diri mereka sendiri untuk bercakap dan mengamalkan Bahasa Arab.

Dalam pada itu, KHEU turut menghargai sumbangan Kesultanan Oman kepada Negara Brunei Darussalam berupa buku-buku pendidikan dan kebudayaan yang memperkayakan lagi koleksi buku berbahasa Arab di persekolahan Arab dan agama.

Sumbangan buku tersebut adalah sangat bermanfaat dan sejajar dengan program dan perancangan KHEU dalam pelaksanaan inisiatif bagi mempertingkatkan lagi tahap kualiti pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab di negara ini.

Hadir sama dalam kunjungan hormat tersebut ialah  Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Timbalan Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang; Pengarah Pengajian Islam, Haji Shamshol bin Haji Omar dan Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pengiran Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea Utara lancar peluru berpandu balistik keempat

SEOUL, 2 OKT – Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu balistik kelmarin, menjadikan keseluruhan empat pelancaran minggu ini oleh negara bersenjata nuklear itu. Ujian itu...
- Advertisment -