Bantuan RM300 untuk penggiat sektor pelancongan Sabah

KOTA KINABALU, 29 OKT – Kerajaan Negeri Sabah akan menyalurkan bantuan RM300 seorang kepada penggiat industri pelancongan di negeri ini bagi membantu meringankan beban kos sara hidup  selepas punca pendapatan mereka terjejas akibat penularan COVID-19.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata bantuan itu akan disalurkan kepada 3,957 individu termasuk malim gunung, porter, pemandu pelancong, ketua selam.

”Kerajaan Sabah telah meluluskan penambahan peruntukan Bantuan Prihatin COVID-19 berjumlah RM160 juta, dan daripada jumlah itu, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar menerima lebih RM1 juta,” katanya.

Jafry berkata demikian dalam satu perjumpaan bersama Ahli Lembaga Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS), Persatuan Malim Gunung dan Persatuan Porter di sini, hari ini.

Antara perkara dibincangkan dalam pertemuan itu ialah kebajikan kakitangan TTS dan usaha menaik taraf  infrastruktur pelancongan di Sabah yang mampu menandingi sektor pelancongan antarabangsa.  – Bernama