Bantuan subsidi untuk pekerja syarikat terjejas

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Dalam membantu sektor swasta yang terkesan oleh COVID-19, Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah memperkenalkan langkah-langah interim termasuk memberikan subsidi pembayaran gaji sebanyak 25 peratus kepada pekerja tempatan di bawah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mempunyai pekerja tidak melebihi 100 orang bermula 1 Ogos hingga 31 Disember 2021.

Langkah interim serupa turut dilaksanakan pada 2020 dan dalam hubungan itu, terdapat sesetengah sekolah swasta dan pusat penjagaan menyatakan bahawa mereka belum menerima subsidi berkenaan.

Menjelaskan mengenai persoalan berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah berkata, pemberian subsidi berkenaan adalah bagi syarikat-syarikat yang terjejas yang mempunyai pekerja tempatan yang berpendapatan $1,500 dan kebawah.

“Memang terdapat beberapa buah sekolah yang memohon kepada pihak kerajaan bagi subsidi ini melalui TAP. Seperti diterangkan juga, kemudahan ini adalah untuk syarikat-syarikat yang terjejas sahaja,” tegas beliau.

Dalam permohonan yang dikemukakan bagi subsidi berkenaan, permohonan yang dihadapkan harus mempunyai butiran-butiran yang lengkap seperti pendapatan, jelasnya lagi semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini. Beliau menerangkan lanjut bahawa didapati juga, ada beberapa buah sekolah berkenaan tidak menurunkan yuran mereka dan masih pada tahap seperti biasa di mana jika dilihat pendapatan berkenaan, ia serupa dengan pendapatan sebelum wabak COVID-19 tetapi pihak itu masih memohon bagi mendapatkan subsidi berkenaan.

“Jadi kita dilihat, pendapatan mereka itu sebenarnya tidak terjejas, oleh itu, jika pemohon adalah seperti itu, ia akan ditolak.”

Kemudahan adalah untuk syarikat-syarikat yang terjejas sahaja dan bukannya untuk semua, tekan Yang Berhormat Dato. Sementara itu, mengenai diskaun sekurang-kurangnya 30 peratus yang diberikan kepada PMKS yang menyewa bangunan kerajaan tetapi terdapat sesetengah pemilik kedai atau gerai yang menyewa di bangunan kerajaan masih membayar sewa penuh kepada jabatan tertentu di mana apabila ditanya, jawapan yang diberikan adalah masih belum menerima arahan.

Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa seperti yang dimaklumkan pada 2020, kemudahan diskaun diberikan pada Mac 2020 bagi tempoh selama enam bulan sahaja dan selepas tempoh itu, pemberian diskaun berkenaan akan diberhentikan dengan keadaan kembali pulih seperti biasa.