Bantuan tangani pandemik COVID-19

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 APRIL – Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat untuk membantu kerajaan Negara Brunei Darussalam menangani penularan pandemik COVID-19 di Brunei, syarikat-syarikat swasta terus tampil ke hadapan untuk menghulurkan sumbangan berupa wang tunai kepada Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, sumbangan yang disampaikan pada majlis yang berlangsung di Bilik VIP, Tingkat 3, Kementerian Kesihatan itu diterima oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Pada majlis berkenaan, Adinin Group of Companies menyumbangkan berupa cek berjumlah $200,000 yang disampaikan oleh Pengarah Urusan, Haji Musa bin Haji Adinin; Exceltech Solutions Sdn Bhd menyumbangkan cek berjumlah $15,000 yang disampaikan oleh Pengarah Urusan, Awang Hafriz Fayadh bin Haji Musa; Emas Laut menyumbangkan cek berjumlah $30,000 yang disampaikan oleh Pengarah Urusan, Haji Mohammad Taib bin Datu Hulubalang Haji Abdul Wahab dan Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn Bhd menyumbangkan cek berjumlah $15,000 yang disampaikan oleh Pengarah Urusan, Haji Shahrildin bin Pehin Orang Kaya Lela Utama Dato Paduka Haji Jaya.

Manakala itu, pada majlis yang berlangsung di Holding Room, Tingkat Bawah, Kementerian Kesihatan, sumbangan bagi Kementerian Kesihatan diterima oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin.

Pada majlis berkenaan, Powsen Electrical Co menyumbang cek berjumlah $5,000 yang disampaikan oleh Chieng Hock Hee; Lifz Technology Sdn Bhd menyumbangkan $3,000 yang disampaikan oleh Ong Boon Kein, Harun Electrical and Engineering Sdn Bhd menyumbangkan $1,000 yang disampaikan oleh Hon Swee San dan Awinco Sdn Bhd menyumbangkan cek berjumlah $6,000 yang disampaikan oleh Pengarah Urusan, Kalimuthan Ilangovan yang dihadiri oleh Pengurus Besar, Sathees Kannan G dan Pengurus Jualan dan Pemasaran, Aileen Morante Abustan.

Sumbangan berkenaan adalah sebagai tanggungjawab sosial korporat daripada pihak-pihak penderma dalam membantu pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya Kementerian Kesihatan dalam sama-sama menangani serta membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham menerima sumbangan daripada Syarikat Takaful Brunei Darussalam.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham menerima sumbangan daripada Adinin Group of Companies.
Haji Maswadi menerima sumbangan daripada Awinco Sdn Bhd.