Bantuan terus dihulurkan

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Dalam sama-sama memberikan sokongan serta sebagai usaha tanggungjawab sosial korporat, pihak syarikat swasta dan individu tampil ke hadapan untuk menghulurkan bantuan kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya Kementerian Kesihatan dalam sama-sama membendung dan menangani penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Kementerian Kesihatan menyatakan Tabung Bantuan COVID-19 2021 menerima sumbangan berjumlah $17,000 daripada ahli-ahli Pertubuhan Ukur, Jurutera & Arkitek (PUJA) Brunei dan sumbangan berjumlah $10,000 daripada Taiwan Graduates Association of Brunei di mana sumbangan diterima oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, Pengiran Dr Haji Mohd Khalifah bin Pengiran Haji Ismail dalam majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan, Berakas, kelmarin.

Kementerian berkenaan juga menerima beberapa sumbangan daripada empat penyumbang yang terdiri daripada syarikat swasta dan penyumbang persendirian pada 9 dan 10 November lalu.

Penderma-penderma berkenaan ialah M.S.B. Enterprise yang menyumbangkan gel sanitiser, pakaian perlindungan PPE dan pakaian perlindungan Jupiter, Aewon Brunei yang menyumbangkan baju kemeja dan seluar panjang, Noor Faezuna Mohd Ali yang menyumbangkan pek bagi kanak-kanak serta Sofeana Suffian yang menyumbangkan set catuan.

Kementerian Kesihatan menyatakan, orang ramai yang ingin membuat sebarang sumbangan, mereka boleh berhubung terus dengan Pusat Operasi Kecemasan Kementerian Kesihatan (MOHEOC) menerusi talian 7295712 pada waktu bekerja sahaja.

Pengiran Dr Haji Mohd Khalifah menerima sumbangan cek berjumlah $17,000 daripada ahli-ahli PUJA Brunei.
Pengiran Dr Haji Mohd Khalifah me-nerima sumbangan cek berjumlah $10,000 daripada Taiwan Graduates Association of Brunei.
Wakil Aewon Brunei bergambar bersama sumbangan baju kemeja dan seluar panjang.