Bantuan untuk pelajar tiada pengangkutan ke pusat vaksinasi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Para pelajar yang mempunyai masalah pengangkutan untuk hadir ke pusat vaksinasi akan disediakan dengan kemudahan pengangkutan di mana ibu bapa pelajar berkenaan perlu memaklumkan kepada pihak sekolah jika mereka benar-benar memerlukan bantuan pengangkutan tersebut.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman ketika menjawab persoalan jika Kementerian Pendidikan ada menyediakan pengangkutan bagi pelajar yang mempunyai masalah kenderaan untuk hadir ke pusat vaksinasi.

“Bagi makluman bersama, kepada pelajar-pelajar yang benar-benar mempunyai masalah pengangkutan untuk ke pusat vaksinasi, yang diperlukan di sini ialah kerjasama daripada ibu bapa untuk memberitahu sekolahnya, jika benar-benar mempunyai masalah pengangkutan serta mempunyai keperluan, ia akan dinilai semula dan jika memerlukan, akan disediakan,” jelasnya semasa sidang media, petang ini.

Menurut beliau, bagi mereka yang benar-benar memerlukan, kemudahan pengangkutan akan disediakan dari sekolah ke pusat vaksinasi.

Yang Berhormat Dato sekali lagi menekankan bahawa kerjasama daripada ibu bapa adalah amat penting dalam perkara itu, agar dapat memberitahu pihak sekolah mengenai keperluan berkenaan, supaya dapat dilaksanakan pengurusannya.