Oleh Massita Ahmad
SINGAPURA – Rutin harian saya ialah menaiki tren (blue line) dari rumah saya ke sebuah stesen MRT bawah tanah dan bertukar tren (purple line) untuk ke pejabat BERNAMA yang terletak di Clarke Quay. Stesen MRT bawah Tanah ini mempunyai nama yang menarik iaitu Little India Station.
Ia mengambil nama lokasi etnik ‘Little India’ yang terletak bersempadan kawasan Kallang dan Rochor. Untuk keluar daripada stesen ini, ada enam pintu keluar dan saya nampak banyak penunjuk jalan antaranya Tekka Market, Kandang Kerbau Hospital, Foochow Methodist Church dan Shree Lakshminarayan Temple.
Kawasan ini ternyata berbeza dengan bahagian lain yang ketara pesat Pembangunannya.
Di Little India ini banyak perkara yang unik seperti bangunan yang meriah warnanya, pelbagai barangan tradisional, harum bau bunga dari gerai penjual bunga India, kuil serta kedai makan yang menghidangkan berjenis-jenis juadah India.
Pengasas Singapura, Sir Stamford Raffles tidak pernah merancang untuk mengasingkan masyarakat India Singpura di satu kawasan tertentu berbanding pre-sint Chinatown dan Kampong Gelam untuk orang Melayu. Little India sebenarnya berkembang dengan identitinya yang tersendiri sejak bertahun-tahun lamanya dan kini bagaikan tempat berkumpulnya pelbagai masyarakat serta kebudayaan sejak sekian lama.


Berdasarkan pengamatan penulis, pengaruh masyarakat lain juga memberi kesan kepada Little India. Contohnya, Tekka Market yang sinonim dengan Little India meskipun mempunyai asal usul kaum Cina.
Menurut Lembaga Warisan Negara (NHB), “Tekka” atau “Zhujiao” iaitu bahasa Mandarin, apabila diterjemahkan bermaksud “rumpun buluh”. Ia ada kaitan dengan rumpun buluh yang pada satu ketika banyak tumbuh di sepanjang Terusan Rochor. Terdapat Masjid Abdul Gaffor yang dibina sekitar tahun 1859 untuk memenuhi keperluan pedagang Muslim India.
Warisan
Fakta lain mengenai Little India yang mungkin kurang diketahui boleh didapati di Little India Heritage Trail, dilancarkan oleh NHB pada Selasa 24 Jan. Jejak warisan sepanjang empat kilometer ini meliputi 40 tapak warisan dengan 18 penanda warisan, mengisahkan sejarah presint berusia 200 tahun ini.
Menarik untuk diketahui bahawa salah satu daripada 18 penanda warisan itu ialah Mahatma Gandhi Memorial, dibina ekoran lawatan Perdana Menteri pertama India, Jawaharlal Nehru pada 1950. Nehru sendiri meletakkan batu asasnya pada 18 Jun, 1950 dan kos pembinaan dibiayai sepenuhnya oleh masyarakat India di Singapura.
Bagi masyarakat India di seluruh dunia, Gandhi adalah tokoh keamanan yang hebat dan juga tokoh kebanggaan mereka kerana peranan besarnya dalam sama-sama memperjuangkan kemerdekaan India daripada penjajah Inggeris. Jejak warisan ini juga memaparkan tokoh terkemuka India yang memperjuangkan pembinaan bangunan peringatan ini di Singapura.
Tema
Di samping penanda warisan itu, jejak warisan itu juga mengambil inisiatif mengadakan laluan berbentuk tema. Terdapat tiga laluan berkenaan iaitu “Serangoon pada 1900an yang menjejak sejarah penempatan awal masyarakat di kawasan tersebut pada awal kurun ke-20.
Laluan “Walk of Faiths” pula memaparkan pelbagai tempat ibadat yang terdapat di jejak warisan Little India yang telah wujud sejak sekian lamanya.
Sementara itu, laluan “Shop Till You Drop” membolehkan pengunjung menikmati kemudahan membeli pelbagai barangan di Little India di samping mengetahui dengan lebih lanjut perniagaan tradisional di kawasan itu.
Bagi menyemai minat golongan muda di Singapura mempelajari sejarah serta warisan, NHB akan berganding bahu dengan Nanyang Academy of Fine Arts (NAFA) serta Umar Pulavar Tamil Language Centre (UPTLC) untuk menjadikan Little India Heritage Trail sebagai “anak angkat” untuk tempoh tiga tahun. NHB dan Indian Heritage Centre (IHC) akan menawarkan perkhidmatan pemandu pelancong untuk memudahkan mereka yang ingin menjejak Little India Heritage Trail. – Bernama