Banyakkan amalan di bulan Ramadan

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Boros berbelanja, membazir makanan dan makan secara berlebihan ibarat sudah menjadi kebiasaan tiap kali tibanya bulan Ramadan, bukan sahaja dari segi makanan malah persiapan menyambut Aidilfitri.

Masuk hari ke-10 umat Islam berpuasa, masyarakat terutamanya umat Islam sepatutnya lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri dengan memperbanyakkan amalan selain menjaga kebersihan alam sekitar namun apa yang berlaku adalah lambakan sampah yang meningkat di bulan yang mulia ini.

Dilaporkan penghasilan sampah-sarap meningkat hampir 3,000 tan sehari pada bulan Ramadan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang; iaitu meningkat sebanyak 500 tan sampah sehari berbanding 2,500 tan pada hari biasa.

Menurut Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman, sikap dan amalan yang tidak sihat itu boleh diubah agar bulan yang mulia ini dapat disambut dengan penuh kesederhanaan dan keinsafan.

“Sekarang ini banyak majlis berbuka puasa secara percuma di masjid dan surau, rebut peluang itu kerana selain menjimatkan perbelanjaan, kita juga boleh menambahkan amal ibadat,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Promosi bufet menarik di hotel juga sudah menjadi ‘trend’ setiap kali tiba musim perayaan, tidak terkecuali apabila datangnya Ramadan.

Mohd Yusof berkata pengusaha hotel boleh menetapkan amaran atau garis panduan untuk mengenakan caj sekiranya terdapat lebihan makanan yang tidak sepatutnya atau mengagihkannya kepada mereka yang memerlukan.

Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan pula berkata amalan berjimat-cermat ini perlu bermula dari institusi kekeluargaan itu sendiri di mana selain mendidik anak-anak untuk tidak bersikap boros, ibu bapa juga perlu menunjukkan contoh yang baik.

Katanya, sikap berjimat-cermat dan mengelakkan pembaziran tidak hanya perlu diamalkan pada bulan puasa malah dalam rutin harian setiap masyarakat. – Bernama