‘Bapa beras hibrid’ China meninggal dunia

SHANGHAI, 23 MEI – Seorang ahli agronomi yang dialu-alukan sebagai wira negara China kerana membantu membangunkan beras hibrid dan membasmi kelaparan berjuta-juta penduduk di seluruh dunia telah meninggal dunia semalam pada umur 90 tahun, kata agensi berita Xinhua.

Yuan Longping, terkenal di China sebagai ‘bapa beras hibrid’, dipuji kerana menanam beras jenis hibrid berkualiti pertama di dunia pada tahun 1973.

Yuan meninggal dunia di sebuah hospital di Changsha, ibu negeri wilayah Hunan, menurut Xinhua. Ia berkata beliau meninggal dunia akibat penyakit yang tidak dinyatakan.

Beras hibrid, yang boleh menghasilkan 20 peratus lebih banyak berbanding jenis biasa menurut pakar, ditanam secara meluas di China dan kawasan penanaman padi di seluruh dunia.

Ia diiktiraf dengan membantu meredakan kebimbangan bekalan makanan di China, yang mempunyai penduduk paling ramai di dunia pada 1.4 bilion.

Xinhua berkata 16 juta hektar tanah pertanian di China kini ditanam dengan beras hibrid, atau 57 peratus daripada jumlah keseluruhan kawasan penanaman padi negara, sekali gus membantu memberi makan kepada 80 juta penduduk tambahan setahun. – AFP

Gambar fail menunjukkan Yuan Longping (tengah) berdiri di sawah padi hibrid di Handan, utara wilayah Hebei, China. Yuan, saintis yang membangunkan beras hibrid berkualiti yang membantu memberi makan kepada penduduk seluruh dunia, meninggal dunia kelmarin. – AP