Bapa cabul tiga anak perempuan dipenjara 20 tahun, 12 sebatan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang disabitkan bersalah kerana mencabul kehormatan tiga orang anak perempuannya dalam pelbagai kesempatan, telah dijatuhi hukuman penjara 20 tahun serta 12 kali sebatan oleh Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini.

Defendan telah didapati bersalah melakukan serangan seksual terhadap anak perempuannya yang berusia 12 tahun, Dayang X, pada awal 2016 di flat mereka.

Pada Januari 2020, dia mencabul anak perempuannya yang berusia 15 tahun, Dayang Y, di flat berkenaan.

Defendan kemudian melakukan serangan seksual terhadap Dayang X pada awal pagi pada 11 Disember 2020.

Terakhir, dia mencabul anak perempuannya yang berusia 10 tahun, Dayang Z, di flat sama pada 17 Disember 2020. Defendan meminta kelonggaran Hakim Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar.

Timbalan Pendakwa Raya Rozaimah Abdul Rahman mendesak mahkamah untuk menjatuhkan hukuman berat bagi mencerminkan faktor-faktor memburukkan kes.

Pihak pendakwaan mengemukakan bahawa terdapat penyalahgunaan kepercayaan dan kewibawaan terhadap anak-anaknya sendiri sejak ibu mereka ditempatkan di Unit Kesihatan Mental pada 2016, dan ia berterusan sehinggalah dia dikeluarkan pada 2020. 

Timbalan Pendakwa Raya Rozaimah juga mendesak mahkamah untuk mengambil kira fakta bahawa defendan telah mengabaikan permin-taan Dayang X dan menggunakan kekerasan terhadapnya, sementara dia mengabaikan penolakan dua anak perempuannya yang lain apabila dia menganiaya mereka dengan menganggapnya sebagai jenaka dan mentertawakannya. 

Pihak pendakwaan seterusnya mendesak mahkamah untuk menjatuhkan hukuman berat yang mencerminkan usia muda anak perempuan defendan ketika dia melakukan ke-salahan tersebut.

Mahkamah juga melihat eksploitasi seksual yang berpanjangan terhadap Dayang X.

Di samping itu, mahkamah juga mengambil kira kedudukan defendan sebagai seorang bapa dan tugasnya sebagai seorang kakitangan beruniform.

Hakim juga bersetuju dengan usaha pihak pendakwaan supaya hukuman berat dikenakan untuk menggambarkan kes-kes sebegitu berleluasa sejak kebelakangan ini dan defendan telah membuat tuntutan agar dibicarakan pada awalnya.