Bapa disaman gara-gara anak pandu kereta

REMBAU, 7 SEPT – Bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang memandu kereta dan tular di media sosial hari ini telah dikenakan tindakan saman mengikut Seksyen 111 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Daerah Rembau DSP Anuar Bakri Abdul Salam berkata saman berkenaan dikeluarkan berikutan tindakan membenarkan kenderaan lelaki berkenaan dipandu oleh pemandu bawah umur.

“Bertindak atas maklumat, polis telah menjalankan siasatan dan berjaya mengesan kereta dan kanak-kanak berkenaan.

Siasatan awal mendapati kanak-kanak yang berusia sembilan tahun itu memandu kereta tersebut tanpa kebenaran dan pengetahuan bapanya yang berusia 47 tahun di Kampung Bongek,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. – Bernama