Bapa mati kesejukan demi anak

THAILAND, 10 DIS – Demi kasih kepada anaknya, seorang bapa menjadi korban cuaca sejuk di wilayah utara Thailand setelah memberikan selimut tebal untuk membaluti tubuh anak perempuannya namun ia berakhir dengan nyawanya sendiri melayang.

Menurut laporan Mustharnews online, kejadian menyayat hati itu berlaku di Bung Khong Long kelmarin apabila daerah itu dilanda kesejukan melampau dengan suhu serendah 9 darjah Celsius. Mangsa dikenali sebagai Prasarn Homethong ditemui mati pada awal pagi oleh anak perempuannya berusia lapan tahun.

Polis ketika mengulas kejadian itu mengatakan, rumah mangsa terbuka dan membuatkan udara sejuk mudah masuk ke dalam. Mereka sekeluarga hanya mempunyai tiga helai selimut. “Menurut anaknya, Prasarn membaluti tubuh anak-anaknya dengan selimut tebal sebelum tidur sedangkan dia hanya memakai baju nipis dan seluar pendek,” kata polis.

Lelaki berusia 38 tahun itu merupakan duda anak dua dan membesarkan anaknya semenjak kecil lagi.

Thailand ketika ini dilanda musim sejuk yang dijangka berlarutan sehingga Februari tahun depan disebabkan corak cuaca di China. Suhu paling sejuk dijangka dirasai bermula akhir Disember sehingga pertengahan Januari. – Agensi