Wednesday, December 4, 2024
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bapa pukul anak didenda $4,000

    Oleh Ak Zaki Kasharan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Mahkamah Majistret Sabtu lalu memerintahkan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun untuk membayar denda sebanyak $4,000 kerana disabitkan bersalah selepas menjalani perbicaraan atas dakwaan memukul anak perempuannya pada tahun 2016.

    Lelaki itu, yang identitinya tidak disebutkan namanya bagi melindungi anak-anaknya, harus menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda berkenaan. Lelaki itu berulang kali memukul bahu dan belakang anak perempuannya yang berusia 14 tahun, dan memukul bahu anak perempuannya yang berusia 13 tahun di rumah pada 8 Jun 2016. Pihak pendakwa juga membuktikan bahawa tertuduh telah menceraikan ibu daripada anak perempuannya yang menjadi mangsa tersebut.

    Pada hari kejadian, tertuduh dan isterinya (daripada perkahwinan yang lain) bersama anak perempuan serta anak lelakinya baru pulang daripada kunjungan Hari Raya. Tertuduh kemudian bertanyakan kepada anak lelakinya mengenai sebuah gambar di Instagram mengenai bapa tiri anaknya. Tertuduh kemudian bertanyakan pula dengan kedua anak perempuannya di bilik tidur mereka dan menuduh mereka telah bertemu dengan bapa tiri mereka.

    Dengan perasaan marah, tertuduh berulang kali memukul bahu anak perempuannya yang berusia 14 tahun dan anak perempuannya yang berusia 13 tahun. Anak bongsu lelaki tertuduh yang berusia 9 tahun menyaksikan kejadian itu. Tertuduh berhenti melakukan perbuatan itu ketika isterinya masuk ke dalam bilik dan meredakan keadaan.

    Keesokan harinya, anak perempuannya yang berusia 14 tahun memberitahu ibunya untuk datang ke sekolahnya dan mendedahkan kepadanya bahawa tertuduh telah memukul mereka dan laporan polis dibuat oleh ibu mereka.

    Pemangku Majistret Kanan Kamaliah Fadhilah binti Haji Ibrahim mensabitkan tertuduh kerana mendapati kes pendakwaan telah terbukti di luar keraguan munasabah mahkamah. Mahkamah juga mendapati saksi pendakwaan yang boleh dipercayai. Tertuduh diwakili oleh Peguam Pengiran Khairul Nizam bin Pengiran Haji Mohd Yassin.

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda