Bapa seni bina moden Iraq meninggal dunia

BAGHDAD, 12 APRIL – Rifat Chadirji, dikenali sebagai bapa seni bina moden Iraq, meninggal dunia pada lewat Jumaat di United Kingdom selepas dijangkiti koronavirus, kata kawan dan pegawai Iraq.

Arkitek dan jurugambar berusia 93 tahun itu disanjung kerana mereka beberapa struktur paling terkenal di Iraq, termasuk ‘Monumen Kebebasan’ di pusat bantahan Dataran Tahrir di Baghdad. “Beliau adalah gergasi abad ke-20 Iraq,” kata Caecilia Pieri, sarjana yang menumpu pada seni bina moden Baghdad yang mengenali Chadirji. Pegawai kanan Iraq termasuk Presiden Barham Saleh dan perdana menteri sementara Adel Abdel Mahdi meratapi kematian beliau semalam.

“Dengan kematian Rifat Chadirji, seni bina di Iraq dan dunia telah kehilangan paru-paru modennya,” tulis Saleh. Dilahirkan di Baghdad pada 1926, Chadirji belajar di London dan kembali ke Iraq pada 1950 untuk mereka arca elegan bertajuk ‘The Unknown Soldier’ – serta pejabat pos di ibu negara dan bangunan awam lain.

Namun apabila rejim Baath berkuasa, ia merobohkan ‘The Unknown Soldier,’ menggantinya dengan patung Saddam Hussein dan memenjara Chadirji dalam penjara Abu Ghraib, di mana beliau tinggal selama 20 bulan.

Beliau menulis tentang pengalaman tersebut dalam “Dinding Di Antara Dua Kegelapan,’ menceritakan bagaimana Saddam telah membebaskannya dari penjara untuk mereka sebuah pusat persidangan. Chadirji berpindah ke Beirut beberapa tahun kemudian dan tinggal di luar negara sepanjang perang Iran-Iraq 1980-1088, Perang Teluk 1990, sekatan antarabangsa selama satu dekad dan serangan pimpinan AS 2003 yang mengguling Saddam. Chadirji adalah penyokong pemuliharaan, bekerja walaupun di bawah Saddam untuk menghentikan perobohan seni bina tradisional Iraq di Baghdad. “Orang yang tidak dapat menjaga hasil ciptaannya adalah orang yang tidak mempunyai memori,” katanya pada 2009. – AFP

Gambar menunjukkan Rifat Chadirji di pejabat rumahnya di bandar Halat, Lubnan. – AFP