‘Bapa senjata nuklear Pakistan’ meninggal dunia pada usia 85 tahun

ISLAMABAD, 10 OKT – Abdul Qadeer Khan, yang diraikan sebagai ‘bapa program senjata nuklear Pakistan’ namun dituduh menyeludup teknologi ke Iran, Korea Utara dan Libya, telah meninggal dunia hari ini pada usia 85 tahun.

Saintis nuklear itu, yang menghabiskan tahun-tahun terakhir hayatnya di bawah kawalan ketat, meninggal dunia di bandar Islamabad, di mana beliau telah dimasukkan ke hospital akibat COVID-19.

Khan menjadi pujaan ramai kerana berjaya mentransformasikan Pakistan menjadi negara Islam pertama di dunia yang menghasilkan senjata nuklear dan memperkukuhkan benteng pertahanan negara yang sukar ditembusi pihak lawan dan rakan India yang bersenjata nuklear.

Bagaimanapun, beliau menjadi sasaran di peringkat antarabangsa kerana didakwa berkongsi teknologi nuklear secara haram dengan negara-negara nuklear lainnya. Persediaan segera dibuat bagi pengebumiannya petang hari ini di Masjid Faisal Islamabad, dengan semua menteri kerajaan dan para pegawai pasukan bersenjata diminta untuk hadir. Bendera juga diarahkan untuk diturunkan separuh tiang. Hujan mulai membasahi keranda Khan yang berbalut dengan bendera Pakistan, diiringi dengan barisan payung hitam.

Di tengah-tengah kawalan ketat, orang awam berkumpul untuk memberi penghormatan terakhir dengan ramai yang mengambil video dan gambar ketika kerandanya dibawa ke kawasan berkhemah menempatkan anggota keluarga Khan, menteri-menteri dan para pegawai tertinggi lainnya. – AFP

Gambar fail yang diambil pada 26 Februari 2013 menunjukkan bekas saintis nuklear Pakistan dan parti Tehreek-e-Tahafuz Pakistan, Abdul Qadeer Khan semasa mesyuarat di Islamabad. – AFP