Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Feb – Seorang bapa tiri dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, atas dakwaan melakukan persetubuhan dengan dua remaja perempuan bawah umur dalam kejadian berasingan pada 2013 dan 2014.
Lelaki berusia 40 tahun itu mengaku bersalah atas tuduhan melakukan persetubuhan dengan anak tirinya iaitu mangsa X yang berusia 15 tahun ketika itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Berakas Kem dalam dua kejadian berasingan pada 2013 dan 2014.
Dia juga menghadapi tuduhan melakukan persetubuhan dengan mangsa Y (sepupu mangsa X) yang berusia 14 tahun ketika itu, di tempat dan tahun yang sama.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 2, Akta Persetubuhan (Penggal 29) yang membawa penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi daripada tujuh tahun dan sebatan tidak melebihi dari 24 sebatan dalam kes pesalah dewasa.
Tertuduh memberitahu mahkamah yang dia mengakui perbuatannya tetapi apa yang mereka lakukan adalah atas dasar ‘suka sama suka’.
Tertuduh juga memohon untuk dilepaskan dengan ikat jamin sementara menunggu sebutan hukuman namun Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurjauinah binti Haji Kula membantah keras ikat jamin diberikan kerana tertuduh sudah pun mengaku salah tambahan lagi hukuman bagi kesalahan itu memperuntukkan penjara.
Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid bersetuju dengan pihak pendakwaan dan memerintahkan tertuduh untuk ditahan reman di Penjara Jerudong dan menetapkan 4 Februari untuk sebutan hukuman.
Fakta kes menyebut, tertuduh yang merupakan bekas anggota beruniform mengahwini ibu kepada mangsa X pada Julai 2012 dan mempunyai seorang anak bersama.
Mangsa X tinggal bersama ibunya dan tertuduh di Berakas Kem, manakala mangsa Y kerap tinggal bersama mereka.
Siasatan mendapati tertuduh melakukan persetubuhan dengan mangsa X pada 2013 dan 2014 ketika mereka berdua bersendirian di rumah.
Tertuduh juga didapati melakukan perbuatan yang sama terhadap mangsa Y ketika mangsa Y bermalam di rumah tersebut pada tahun yang sama ketika mereka hanya berdua di rumah.
Laporan polis dibuat terhadap tertuduh oleh mangsa X pada 29 Januari 2017 atas nasihat ahli keluarga.