BARA sambut World Pull Up Day

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Persatuan Rekreasi Pengembaraan Brunei (BARA) bersama Mairgix dan Hidupku Hijrah Parkour telah menyambut World Pull Up Day dengan acara yang diadakan di Mairgix, Kiarong, baru-baru ini.

World Pull Up Day merupakan acara tahunan yang diadakan di seluruh dunia setiap 19 September.

Seramai 31 peserta telah mengambil bahagian dalam cabaran berkenaan bagi mengumpulkan sebanyak 2,020 kali pull up dalam masa satu jam. Sasaran berjaya dicapai dalam 30 minit dengan sejumlah 4,645 pengulangan terkumpul pada akhir masa di mana ia telah menggandakan rekod pull-up yang dilakukan oleh Mairgix pada 2015 iaitu 2,685 pull up.

Pull up tertinggi bagi peserta lelaki ialah ahli Hidupku Hijrah Parkour yang juga merupakan Naib Presiden BARA I, Awangku Muhd ​​Nur’Nazirul Mubin bin Pengiran Roslan dengan 300 manakala itu, pull up tertinggi untuk wanita adalah sebanyak 270 oleh Jessamine dari Mairgix.

Hadir pada majlis tersebut ialah Presiden BARA, Yasmin Patera yang turut berkesudian menyampaikan ucapan dan seterusnya menyerahkan sijil kepada para peserta.

Yasmin Patera turut menyatakan bahawa BARA berharap dapat meneruskan tradisi tahunan pada akan datang.