LONDON, 10 Ogos – Muzium British berkata semalam, ia memulangkan semula koleksi barangan antik Iraq yang dicuri berusia sehingga 5,000 tahun selepas mengenal pasti asal usulnya.
Lapan objek itu dirampas polis Britain pada Mei 2003, beberapa bulan selepas pencerobohan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) di Iraq, daripada seorang peniaga di ibu kota ini yang gagal menunjukkan sebarang dokumen.
Biasanya butiran terperinci barangan itu sukar diperoleh, namun tiga daripadanya, kon tanah liat dibakar, mengandungi inskripsi atau tulisan Sumeria yang memberi petunjuk dari mana asal usulnya.
Dalam satu kebetulan yang luar biasa, ia sama dengan kon yang ditemui di tapak bandar lama Girsu, kini dikenali Tello di selatan Iraq, di mana Muzium British melatih pakar arkeologi Iraq sejak 2016.

“Objek pecah yang ditinggalkan perompak berhampiran lubang curi adalah kon pecah dengan inskripsi sama yang kami temui pada kon yang dirampas,” kata ketua arkeologi pasukan itu, Sebastien Rey.
Kon sama juga ditemui pada dinding sebuah tapak di kuil Eninnu, menunjukkan sumber barangan dicuri dikatakan Rey ‘jelas amat unik.’
Rampasan di tapak itu tidak meluas seperti tempat lain di selatan Iraq, menunjukkan objek yang dibawa di sini diambil waktu malam, kemungkinan oleh sejumlah kecil individu.
Objek itu diserahkan kepada Kedutaan Iraq hari ini ketika satu upacara persendirian di muzium, dari mana ia akan dikembalikan kepada Iraq dan diharapkan Rey dapat dipamerkan kepada umum. – AFP