BANDAR SERI BEGAWAN, 10 April 2012 – Para pekerja sebuah pasar raya di Kiulap yang sedang bersedia untuk membuka dan memulakan perniagaan pada pagi itu terkejut apabila menemui talam-talam barang-barang kemas berselerak, manakala barang-barang kemas hilang dari kedai barang kemas di dalam pasar raya itu.
Menurut pekerja di kedai berkenaan, mereka sedang sibuk membuka kedai pagi itu untuk memulakan perniagaan apabila mereka ternampak talam-talam berselerak, lalu mereka bertindak menghubungi pemilik pasar raya yang kemudiannya menghubungi pemilik kedai barang kemas berkenaan, serta pihak polis mengenai kejadian berkenaan.
Menurut mereka lagi, mereka percaya bahawa pencuri-pencuri berkenaan mungkin telah bersembunyi dalam pasar raya tersebut pada malam kejadian dan setelah mencuri, pencuri itu membawa lari barang-barang kemas itu.
Pencuri dipercayai keluar dari pasar raya melalui sebuah lubang yang dipecahkan oleh mereka di tingkat satu pasar raya berkenaan dan keluar dari sebuah tingkap.
Para pekerja berkenaan juga berkata bahawa mereka tidak melihat apa-apa yang mencurigakan semalam apabila menutup kedai. Jurucakap Pasukan Polis Diraja Brunei mengesahkan bahawa polis menerima laporan mengenai kejadian pecah masuk dan curi itu pada pagi tersebut juga, di mana kejadian itu dipercayai berlaku lewat malamnya.
Menurut polis lagi, barang-barang kemas yang dicuri itu dianggarkan berjumlah kira-kira $300,000 dan kes berkenaan masih dalam siasatan polis.