Thursday, April 18, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Barang pemberian: Tidak boleh daripada bahan yang najis

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Amalan menghulurkan pemberian kepada orang lain terutama kepada golongan yang memerlukan merupakan salah satu daripada perkara kebaikan yang digalakkan oleh syara‘. Dalam bahasa Arab, pemberian secara umum disebut sebagai ‘athiyyah. ‘Athiyyah atau pemberian merangkumi hibah, sedekah dan hadiah.

    Namun ketiga-tiga perkara tersebut adalah berbeza dari segi tujuan dan maksud seseorang ketika menyampaikannya kepada si penerima.

    Jika pemberian itu bukan bermaksud untuk mendekatkan diri kepada Allah Subnahahu wa Ta‘ala dan bukan sebagai penghargaan mahupun penghormatan kepada si penerima, maka ia dimaksudkan sebagai hibah.

    Jika pemberian itu dimaksudkan untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka ia adalah sedekah.

    Jika pemberian itu dimaksudkan sebagai penghormatan atau penghargaan, maka ia dinamakan hadiah.

    Dengan demikian, dapat disimpulkan bahawa setiap sedekah dan hadiah itu adalah hibah, tetapi bukan semua hibah itu adalah sedekah dan hadiah.

    Jika barang yang hendak dijadikan pemberian itu terkena najis atau mengandungi sesuatu yang berasal daripada najis, hendaklah ianya boleh disucikan seperti baju yang terkena najis yang dapat dihilangkan.

    Rukun hibah terbahagi kepada tiga bahagian iaitu;

    -Orang yang berakad (pemberi dan penerima)

    – Barang pemberian

    – ighah (lafaz ijab dan qabul)

    Mengenai rukun ‘barang pemberian’, setiap benda yang diharuskan untuk dijual beli, maka harus juga untuk dijadikan sebagai pemberian.

    Bagi menentukan sesuatu barang itu boleh dijadikan sebagai barang pemberian hendaklah barang tersebut menepati syarat-syarat yang ditetapkan oleh syara‘. Syarat ‘barang pemberian’ hendaklah:

    Barang itu sesuatu yang diketahui oleh si pemberi dan penerima;

    Suci;

    Dapat dimanfaatkan sebagaimana yang disyaratkan dalam perkara barang jual beli.

    Barang yang dijadikan hibah hendaklah suci

    Apa yang dimaksudkan dengan syarat ‘suci’ di atas ialah apa yang kosong daripada najis (tidak najis). Dalam perkara jual beli, tidak sah jual beli sesuatu yang najis atau yang bernajis sebagaimana berikut:

    ‘Ain najis (benda): Seperti anjing, walaupun anjing yang dilatih untuk berburu dan seumpamanya, babi, arak, darah, tahi dan air kencing.

    Sesuatu yang terkena najis dan kemudiannya tidak dapat disucikan umpamanya minyak yang terkena air kencing atau susu bercampur sesuatu najis atau air kopi bercampur darah dan yang seumpamanya.

    Sebaliknya jika benda yang terkena najis itu dapat disucikan seperti baju yang terkena darah, maka ia sah jual beli kerana baju tersebut masih dapat disucikan.

    Syarat suci yang dikenakan ke atas barang pemberian adalah semuanya sama seperti syarat suci dalam perkara jual beli. Maka hendaklah barang-barang pemberian itu:

    Bukan barang-barang najis seperti darah, bangkai, babi, anjing, arak dan sebagainya.

    Tidak terkena atau mengandungi sesuatu yang berasal daripada benda yang najis seperti enzim babi atau titikan arak dan yang seumpamanya.

    Jika barang yang hendak dijadikan pemberian itu terkena najis atau mengandungi sesuatu yang berasal daripada najis, hendaklah ianya boleh disucikan seperti baju yang terkena tahi anjing dan dapat dihilangkan najis tersebut serta disertu, maka sah pemberian tersebut.

    Hibah berupa makanan yang berkemungkinan mengandungi bahan tidak suci

    Salah satu bentuk pemberian yang biasa dihulurkan kepada orang lain ialah pemberian berupa makanan sama ada makanan yang dimasak sendiri atau makanan yang dibeli di kedai-kedai.

    Dari segi syarat penyajian dan juga pemberian, makanan itu hendaklah merupakan sesuatu yang suci atau tidak mengandungi bahan-bahan yang tidak suci.

    Untuk menjelaskan mengenai kedudukan makanan yang berkemungkinan mengandungi bahan yang tidak suci umpamanya kek atau kuih-muih yang dibuat daripada bahan yang diragui kehalalannya atau apa yang diistilahkan sebagai syubhah.

    Syubhah atau dalam bahasa Melayunya disebut keraguan atau kesangsian bermaksud:

    Sesuatu yang tidak diyakini akan halal atau haramnya.

    Sesuatu yang tidak diketahui adakah pada hakikatnya ia halal atau haram.

    Sesuatu yang keadaannya seolah-olah sabit atau pasti, tetapi sebenarnya tidak sabit atau tidak pasti.

    Prinsip syara‘ mengenai syubhah

    Jika pada asalnya sesuatu yang syubhah itu adalah halal dan kemudiannya timbul syak atau ragu pada haramnya, maka ia dikembalikan kepada hukum asalnya iaitu halal.

    Namun menjauhi diri dari perkara syubhah dengan bersifat wara‘ merupakan sikap yang mulia.

    Contoh: Produk biskut keluaran syarikat milik orang Islam yang mengandungi bahan-bahan suci seperti tepung, telur, minyak kelapa sawit, oat dan garam tetapi kita syak pada haramnya kerana kemungkinan ada bahan lain yang tidak dinyatakan dalam pemprosesan produk tersebut.

    Maka dalam hal ini, produk itu dianggap halal kerana yakin bahan yang disenaraikan adalah terdiri daripada bahan suci dan syarikat itu pula adalah milik orang Islam.

    Maka biskut tersebut boleh dijadikan pemberian tetapi tidak menjadikannya sebagai pemberian adalah lebih baik kerana kita sendiri ada syak terhadapnya.

    Jika pada asalnya keadaan sesuatu yang syubhah itu adalah haram dan kemudiannya timbul syak dan ragu bahawa ia adalah halal, maka wajib dijauhi dari melakukan syubhah sedemikian kerana menurut hukum asalnya iaitu haram.

    Contoh: Daging lembu yang didatangkan dari negara lain untuk dijual di pasaraya-pasaraya tempatan dengan diberi logo ‘Halal’ yang diragui.

    Hukum asal daging tersebut adalah tidak halal dimakan melainkan ia jelas disembelih mengikut syara‘.

    Oleh kerana tidak jelas penyembelihannya atau siapa penyembelih sekalipun terdapat logo tersebut yang boleh menimbulkan rasa syak kemungkinan halalnya, maka hukum daging tersebut dikembalikan kepada hukum asalnya iaitu haram dimakan dan ia tidak suci.

    Maka daging tersebut tidak boleh dijadikan pemberian sama sekali.

    Melalui penjelasan di atas dapatlah disimpulkan bahawa menjaga diri daripada mengambil sesuatu yang syubhah adalah suatu yang dituntut.

    Begitu juga dalam konteks pemberian, jika pemberian yang berupa makanan atau minuman itu merupakan sesuatu yang diragui adakah ianya halal ataupun haram maka mengambil sikap untuk tidak memberikannya kepada orang lain adalah lebih baik walaupun pada asalnya ia adalah halal.

    Manakala jika barang pemberian yang berupa makanan atau minuman itu pada asalnya adalah haram, maka tidak boleh diberikan pada orang lain, kerana pemberian tersebut tidak menepati sebagaimana yang dikehendaki oleh syara‘ iaitu barang pemberian tersebut bukan terdiri dari barang yang suci atau daripada bahan yang suci.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Terumbu Sawar Besar alami pemutihan karang paling teruk

    CANBERRA, 17 APRIL - Sebahagian besar Terumbu Sawar Besar yang ikonik di Australia mengalami pemutihan karang pada musim panas 2023-24, menurut laporan kerajaan. Agensi kerajaan...