Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Barangan bantuan diagih ke 100 rumah

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan BIBD

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MAC – Dalam usaha menegakkan prinsip Maqasid Syariah yang termasuk memelihara kesejahteraan orang lain, kakitangan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) berganding bahu melawat 100 buah kediaman untuk mengagihkan barangan bantuan.

    Ia juga dilaksanakan dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) untuk membasmi kemiskinan dan kelaparan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BIBD, di sini, sumbangan bantuan berkenaan diagih-agihkan kepada para penerima bagi aktiviti tahunan Sirah Amal yang diadakan bagi tahun ke-13 berturut-turut dalam semangat mengalu-alukan kehadiran bulan suci Ramadan.

    Kegiatan Sirah Amal yang telah selesai dilaksanakan, baru-baru ini, merupakan sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat tahunan BIBD, di mana barangan yang didermakan termasuk baucar membeli-belah dan sumbangan termasuk makanan dan barangan sambutan Hari Raya untuk membantu penerima semasa Ramadan dan bulan Syawal yang bakal menjelang.

    Kakitangan bank berkenaan juga mengambil peluang pada bulan yang penuh berkat ini untuk mengongsi sumbangan sukarela peribadi mereka kepada para penerima.

    Awang Junaidi bergambar ramai bersama pegawai dan kakitangan BIBD semasa mengendalikan aktiviti tahunan, Sirah Amal ke-13, baru-baru ini.
    Kakitangan BIBD berkunjung dan mengagihkan sumbangan kepada para penerima dalam aktiviti tahunan, Sirah Amal ke-13, baru-baru ini.

    Para penerima sumbangan terdiri daripada pelajar-pelajar BIBD ALAF sebanyak 55 buah rumah dan mualaf yang kurang bernasib baik sebanyak 45 buah rumah di mana ia diperoleh melalui kerjasama erat serta penyelarasan dengan Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

    Aktiviti Sirah Amal ke-13 telah bermula pada 17 Mac lalu dengan kunjungan kepada keluarga-keluarga di Daerah Brunei dan Muara yang dikendalikan oleh beberapa buah kumpulan dari pelbagai bahagian bank berkenaan.

    Sementara itu, sebuah kumpulan yang diketuai oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri mengadakan aktiviti amal pada 22 Mac lalu di mana inisiatif berkenaan telah dilaksanakan di kesemua daerah.

    Ketua Pegawai Pemasaran BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar menyatakan bahawa dengan melaksanakan aktiviti tahunan itu, mereka diingatkan pentingnya untuk berkongsi berkat dengan mereka yang berada di sekeliling.

    “Ia bukan sahaja satu perbuatan kebaikan tetapi juga satu prinsip asas Maqasid Syariah, yang menekankan pentingnya keadilan sosial dan kesaksamaan.”

    Beliau berkata dengan berkongsi berkat, kita dapat membantu mereka yang kurang bernasib baik dan menyumbang kepada pembangunan sebuah masyarakat yang lebih adil dan saksama.

    Hajah Nurul Akmar seterusnya menyatakan bahawa sokongan BIBD kepada Maqasid Syariah dan UNSDG mencerminkan komitmen mereka untuk mempromosikan pembangunan mampan dan tanggungjawab sosial.

    “Melalui pelbagai inisiatif dan program kami, kami telah menunjukkan kefahaman mendalam kami mengenai pentingnya untuk menyumbang kembali kepada komuniti dan menyokong mereka yang memerlukan serta memberikan inspirasi kepada yang lain untuk mengikut langkah dan membuat satu perubahan dalam negara dan dunia,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...